Hari Raya bersama yang tiada...

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Walau sudah memasuki 3 Syawal, namun harapnya masih belum terlewat untuk aku mengucapkan Salam Aidilfitri kepada semua pembaca setia blog yang tidak seberapa ini. Pada kesempatan ini, aku memohon sejuta kemaafan kalau sebarang tulisan di blog ini dan notes di Facebook ada yang mengguris hati kalian. Aku akui, aku adalah manusia biasa yang serba lemah dan tak pernah terlepas daripada berbuat kesilapan...

"Taqabbalallahu minna wa minkum" - Semoga Allah menerima segala amalan kita dan semoga Ramadan yang lalu telah menjadikan diri kita semua lebih bertakwa dan terus sentiasa mengingatiNya tidak kira sama ada senang atau susah. Insya Allah.

Hari Raya kali ini bagiku ternyata sangat berbeza. Tidak lagi seperti sebelumnya.

1 Syawal 1432H...hari raya pertama. Kami berhari raya di dua tempat yang sangat signifikan...di Taman Baiduri, PJ dan Seksyen 9 Kota Damansara.

2 Syawal 1432H...hari raya kedua, kami ke Klang...

Ya, kami menyambut hari raya di situ...bersama yang sudah tiada di sisi...

Bersama buku Yassin, sebotol air dan sebakul bunga rampai yang harum, kami melangkah ke kediaman abadi insan tersayang. Tidak lupa untuk sampaikan salam buat penghuni lain yang mendiami perkampungan abadi itu...

Hari Raya yang lalu, ku masih berpeluang mencium tangan dan pipi nenek.Ku masih berpeluang menatap wajah nenek. Ku masih berpeluang berbual dan bergelak tawa dengan nenek. Ku masih berpeluang bergambar bersama nenek sebagai tanda kenangan. Ku masih berpeluang menerima duit raya pemberian nenek. Ku masih berpeluang bergembira bersama nenek.

Hari Raya sewaktu aku masih kanak-kanak, aku berpeluang bermesra dengan atuk. Ketawa mendengar cerita atuk...cerita tentang zaman perang dahulu, zaman beliau menjadi polis. Zaman beliau mampu membeli banyak barang dapur dengan hanya RM 1 sahaja! Nenek hanya membantah tatkala mendengarnya. Atuk juga selalu membelaku dan adik beradik bila mak memarahi kami.

Namun kini....itu semua hanyalah kenangan.

Hari ini aku hanya mampu merenung timbunan tanah yang masih merah itu.
Aku juga hanya mampu merenung batu yang tercacak pada hujung kiri dan kanan timbunan tanah itu.

Hari ini aku tidak mampu lagi menatap wajah atuk dan nenek. Aku tidak mampu lagi mencium tangan atuk dan mencium pipi nenek. Aku tidak mampu lagi berbual dan bermesra bersama atuk dan nenek. Aku tidak mampu lagi bergambar bersama nenek untuk dimasukkan dalam album kenangan.

Tiada lagi.....

Aku hanya mampu membacakan Yassin dan Al-Fatihah sebagai hadiah buat mereka, dengan harapan semoga mereka sentiasa tenang di sana.

Mungkin aku bukanlah cucu kalian yang baik, tapi walau apa yang terjadi, sampai bila-bila aku amat merindui dan menyayangi kalian......

Atuk, nenek, selamat hari raya. Sesungguhnya aku amat merindui kalian semua. Selalu.

-RINI S.-

Ulasan

  1. Great work. Truly speaking I never seen a blog like that. Absolutely superb work. Good luck. Thanks for such an informative post. For more information visit legal empire for sale

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ada Apa Dengan Pengajian Melayu?

KRABI 2018: Itinerari dan Bajet (4H 3M)

Kisah Klasik Untuk Masa Depan (Edisi Raya): Nostalgia Kad Raya