"Cinta tak semestinya memiliki"


Wah wah wah...apakah ini? Sejak bila Rini Safiyyah berbicara mengenai soal cinta ye?? =P

Okay, entri kali ni bukan nak membuka pekung di dada ya. Ini bukan berkenaan kisah cinta saya sebab saya akui buat masa ini saya masih belum berpengalaman merasai itu semua. Abaikan status "It's Complicated" dalam FB kerana ia langsung tidak ada kena mengena dengan entri kali ni.

Sebenarnya...selepas makan malam, macam biasa saya menolong mak mengemas dapur (ceewah...).Selalunya sambil menyiapkan kerja, kami akan berbual-bual mengenai pelbagai perkara yang berlaku di dunia ini. Seringkali perihal agama, berkongsi-kongsi ilmu yang mak peroleh melalui pembacaan dan mendengar radio IKIM, sementara saya pula melalui internet. Namun, pada malam tadi, mak terbuka cerita berkenaan kisah pahit yang dialami oleh salah seorang sahabat akrab mak saya. Jadi, kisah pahit itulah yang saya mahu 'share' di sini, namun tak bermakna nak mengaibkan nama baiknya, sebab saya takkan letak nama penuhnya dalam entri ni. Apapun, bagi saya, kisahnya itu bolehlah dijadikan iktibar buat saya sendiri dan semua yang sudi membacanya (TQVM).

Begini...waktu sahabat mak saya tu - saya gelarkannya sebagai 'N'- masih muda belia remaja lagi, kiranya sewaktu dia Tingkatan 6 la...dia ada 'abang angkat' yang nak berkawan dengannya. 'Abang angkat'nya seorang guru. Selama ini abang angkatnya menyimpan perasaan terhadapnya. Dalam masa yang sama, dia berkawan dengan kakak 'N' - semata-mata nak 'tackle' 'N'. Dia tak tahu pada waktu tu jugalah kakak 'N' jatuh hati dengan jejaka itu juga! Hmm...kira kakak 'N' ada menyimpan perasaan iri hati terhadap adiknya sendiri! (Astaghfirullah)

Suatu hari, abang angkatnya pun memberitahu hasrat hatinya terhadap 'N' kepada kakak 'N'...disebabkan kakak 'N' ni benar2 cemburukan adiknya dan sangat cintakan lelaki itu, dengan selamba dia meminta lelaki itu lupakan sahaja adiknya kerana 'N' sudah punya teman lelaki yang lain (padahal dia sengaja berbohong supaya lelaki itu akan melupakan 'N'). Apabila mendengar penjelasan daripada kakak 'N', serta merta dia mengambil keputusan untuk meninggalkan daerah tempat dia bertemu dengan gadis pujaannya. Dia ditukarkan ke daerah lain bagi membawa hatinya yang lara (kerana mempercayai bulat-bulat kata-kata kakak 'N' tu). Semenjak peninggalan pemuda itu, 'N' menyedari bahawa abang angkatnya sudah lama tidak datang bertemu dengannya.

Suatu hari, ditakdirkan Tuhan, dia terserempak dengan abang angkatnya. Abang angkatnya menerangkan hal sebenar kepada 'N'. Dia memberitahu apa yang kakak kandungnya beritahu kepadanya. Padahal 'N' sendiri sememangnya tidak ada teman lelaki pada waktu itu!

Hancur luluh hatinya apabila mendengar perkhabaran tersebut!

Setelah itu, dia bersemuka dengan kakaknya. Kakaknya mendakwa (hendak menutup perkara sebenar), pemuda itu yang menyukai dirinya dan sanggup menunggunya sehingga bersedia untuk disatukan. 'N' langsung tidak dapat menerima kenyataan tersebut kerana berasa diri dikhianati oleh...darah dagingnya sendiri, bukan orang lain! Lagipun 'N' akui, dia sendiri juga menyukai abang angkatnya, kerana pemuda itu sangat baik terhadapnya dan sering memberi semangat untuk berjaya dalam kehidupan.

Bertahun-tahun lamanya kisah duka itu berlalu, suatu hari 'N' bertemu kembali dengan abang angkatnya. Waktu itu 'N' sudahpun berumah tangga dengan orang lain, namun abang angkatnya masih belum bertemu jodoh. Alasannya, dia mahu bakal isterinya serupa seperti 'N'...

'N' adalah cinta pertamanya. Dia telah menutup pintu hatinya daripada menerima orang lain selain 'N'. 'N' memujuk, tidak perlulah menunggunya lagi kerana dia sendiri telahpun bergelar isteri orang. Dia juga berharap abang angkatnya akan menemui insan lain yang lebih baik daripadanya. Selepas itu, mereka tidak lagi bertemu dan bertanya khabar. Mungkin sudah 'lost contact'.

Apabila mengenangkan kisah sahabat mak saya itu, entah mengapa saya berasa sedih bercampur kesal. Namun, semuanya sudah ditakdirkan. Mungkin ada hikmah yang tersembunyi, yang kita tidak tahu.

Bagi saya, ya, kenyataan yang pahit untuk diterima adalah apabila orang yang mengkhianati kita itu bukanlah orang lain, tetapi saudara kita sendiri. Darah daging kita sendiri! Betapa sukarnya hendak menerima hakikat itu. Apapun saya berdoa agar hubungan saya dengan tiga saudara yang saya sayangi itu berkekalan dan sentiasa dalam keadaan baik, Insya Allah.

Setelah mendengar kisah itu, memang benarlah kata orang,
Bercinta tidak semestinya memiliki.

Belum tentu orang yang kita suka dan sayangi itu akan kekal bersama kita hingga ke jinjang pelamin. Rasanya memang banyak yang kita dengar, "bercinta dengan orang lain, sudahnya berkahwin dengan orang lain." Sudah macam lumrah. Namun, ya, Tuhan perancang yang paling terbaik, berbanding kita yang hanya tahu merancangnya (belum tentu berjaya).

Kisah yang dialami oleh sahabat mak itu boleh menjadi panduan buat diri ini agar bersedia berhadapan dengan apa sahaja perkara yang berlaku di luar dugaan. Kemudian, redha dan tabah dengan suratan yang terjadi.

Belum tentu insan yang saya cintai itu akan menjadi teman hidup saya buat selamanya.

Saya harus menerimanya!


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ada Apa Dengan Pengajian Melayu?

KRABI 2018: Itinerari dan Bajet (4H 3M)

Kisah Klasik Untuk Masa Depan (Edisi Raya): Nostalgia Kad Raya