Ada Apa Dengan Pengajian Melayu?

Prolog
"Kamu belajar dalam bidang apa di UM?"

"Pengajian Melayu."

"Pengajian Melayu? Kamu kerja apa nanti kalau ambil bidang ini?"

Satu soalan wajib yang kuterima sejak berada di peringkat ijazah pertama (Bachelor degree) lagi. 

Oh, paling tidak pun akan ada yang tanya begini;

"Nanti kamu akan menjadi gurukah apabila tamat pengajian nanti?"

Sekiranya hakikatnya benar, seronok juga. Namun apakan daya, cita-cita yang  kuimpikan semenjak kecil itu tidak tercapai buat masa ini. Belum ada rezeki, barangkali. Mungkin juga aku tidak ada bakat hendak mengajar di depan kelas. Menyeksakan jiwa raga pelajar sahaja sekiranya mendapat guru sepertiku ini. Hahaha!

Mungkin suatu ketika dahulu, apabila menyebut bidang Pengajian Melayu, tentu ramai yang kagum dan bangga. Yalah, setelah menamatkan pengajian, peluang pekerjaan terbuka luas. Tidak sempat hendak berehat lama-lama di rumah, sudah mendapat tawaran pekerjaan. Bagi yang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi lagi, oh, berpeluang untuk mencurahkan bakti sebagai pensyarah di Akademi Pengajian Melayu (sebelum tahun 1995, dahulu dikenali sebagai Jabatan Pengajian Melayu di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya). 

Itu dahulu.

Sekarang...

Sukar mendapatkan pekerjaan bukanlah perkara utama yang membuatkan aku kesal apabila memilih bidang Pengajian Melayu, sebab aku sangat percaya bahawa Allah SWT yang memberikan rezeki kepada kita, tetapi kitalah yang perlu berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan rezeki itu. Apa yang membuatkan aku sedih adalah persepsi negatif yang dilemparkan oleh masyarakat di tanah air tercinta ini mengenai Pengajian Melayu.  Spesifiknya, orang Melayu di Malaysia sendiri yang memberi persepsi negatif itu sebenarnya!

Sewaktu kuliah tadi, seorang rakan memberitahu, pernah juga ada orang yang memberi respon yang agak menyakitkan telinga dan hati juga mengenai Pengajian Melayu;

"Mengapa memilih bidang Pengajian Melayu? Apa, kamu berasa tidak 'cukup' Melayu lagikah sehingga memilih bidang ini?"

Tetapi, rakanku itu, agak 'pedas' juga mulutnya, membalas;

"Kamu rasa, kamu sudah 'cukup' Melayukah dalam diri kamu?"

Alangkah sedihnya!

Namun, aku mendapati ada senario yang berbeza berlaku di akademi ini. Walaupun mendapat persepsi negatif daripada masyarakat Melayu itu sendiri, namun, akademi ini menjadi tumpuan masyarakat di luar sana...di luar negara ini. Singapura, Korea, China, Indonesia, Thailand...malah dengarnya (daripada mulut pensyarahku) ada juga yang dari Poland (jika tak silap) yang memohon untuk menyambung pengajian di akademi ini! Nampaknya, masyarakat luar Malaysia yang lebih berminat hendak belajar dan mengkaji dunia Melayu di Akademi Pengajian Melayu, berbanding masyarakat dalam negara ini yang lebih suka merendah-rendahkan bidang ini. Mungkin juga mereka melihat bidang Pengajian Melayu tidak sehebat bidang lain dari segi nilai ekonomi dan peluang pekerjaan. Mungkin. 

Tetapi, buat masa ini, persetankan sahaja semua persepsi negatif itu! 

Aku dan Akademi Pengajian Melayu
Aku masih ingat, sewaktu aku baru sahaja mendapat keputusan peperiksaan STPM (tahun 2006), ketika mengisi borang permohonan untuk melanjutkan pengajian di universiti, waktu itulah aku menyedari kewujudan bidang Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Entah bagaimana, mak juga memberi galakan kepadaku untuk memohon bidang itu, tetapi disebabkan aku waktu itu sangat bersemangat hendak menjadi guru, jadi aku letakkan bidang Pengajian Melayu sebagai pilihan kedua, kerana pilihan pertamaku adalah dalam bidang Pendidikan Bahasa Melayu di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI). Ditakdirkan, permohonan pilihan keduaku diterima - secara rasminya aku bergelar pelajar ijazah pertama dalam bidang Pengajian Melayu. 

Jadi, selama tiga tahun itu aku berada dalam lingkungan alam Melayu dan banyak ilmu dan pengalaman yang kuperolehi. Sebagai contoh; aku akhirnya mengetahui bahawa selama ini, rupa-rupanya memakai kain batik (bagi perempuan) juga mempunyai falsafah yang tersendiri:
  • Sekiranya wanita itu mengenakan kain batik dan menampakkan kepala kain di hadapan, ia bermakna dia masih berstatus anak dara (single and available). 
  • Bagi wanita yang sudah berkahwin, kepala kain berada di belakangnya.
  • Bagi wanita yang berstatus janda, dia akan menampakkan kepala kain di bahagian tepi.

Itu tidak termasuk lagi dengan amalan ritual orang Melayu yang tidak lagi diamalkan pada zaman ini (atas sebab ia melanggar hukum syarak) seperti melenggang perut bagi wanita yang mengandung, konsep dara pingitan, dan banyak lagi. 

Dalam aspek kesenian Melayu, aku berpeluang mengenali pelbagai jenis seni rupa dan seni persembahan serta falsafah yang terkandung dalam setiap bentuk kesenian itu. Ia dapat dilihat pada seni ukir Melayu seperti motif 'Awan Larat', 'Sulur Bayung' yang sebenarnya punya makna dan falsafah yang tersirat dari segi hubungan ketuhanan dan kemanusiaan. 

Malah, berada di akademi inilah aku berpeluang mengenali alam Melayu dari luar Malaysia, yang mana aku berpeluang menyertai Delegasi APM ke Universiti Walailak, Nakhon Si Thammarat, Selatan Thailand pada tahun 2009. Di sana, aku dapat mengenali masyarakat Melayu di sana dengan lebih dekat lagi, kerana selama ini aku hanya mengetahuinya dari pembacaan sahaja. Sehingga kini, aku masih berhubung dengan keluarga angkat dan sebahagian rakan-rakan Melayu Thai (pelajar kampus Walailak yang rata-rata dari wilayah Yala, Patani, Narathiwat dan juga Nakhon) di alam maya. Memang ia suatu kenangan manis yang takkan aku lupa sampai bila-bila. 

Kini, aku meneruskan perjuanganku di akademi dalam peringkat sarjana. Insya Allah, jika tiada aral melintang, bulan Jun nanti aku akan menyertai Delegasi Pelajar Sarjana APM ke Universiti Hasanuddin, Makasar, Sulawesi, Indonesia. Semoga apa yang dirancang semuanya berjalan lancar, Insya Allah. 

Epilog
Bergelar pelajar bidang Pengajian Melayu tidak bermakna aku merasa sudah 'cukup' Melayu. Tidak, aku tidak pernah menganggap begitu. Sekurang-kurangnya, aku sudah mengenali apa itu Melayu. Aku berpeluang mengenali kebudayaan dan tradisi masyarakat Melayu pada zaman lampau dan melihat perubahannya pada hari ini. 

Kini aku tidak peduli apa orang hendak kata tentang Akademi Pengajian Melayu. Kata-kata semangat daripada Prof. Zahir sewaktu kuliah Isu-Isu Semasa Pengajian Melayu petang tadi telah menyedarkanku, bahawa menuntut ilmu di universiti tidak sahaja bertujuan untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik selepas itu, tetapi ilmu yang diperoleh itu sebenarnya sangat berharga dan tidak akan ditemui di tempat lain. Ya, walaupun di universiti-universiti lain, seperti UKM dan UPM ada menawarkan pengajian yang hampir serupa, namun bidang tumpuan di situ hanya lebih kepada bahasa dan kesusasteraan, berbanding di APM yang menampilkan kesemua komponen dalam dunia Melayu. 

Walau apa yang terjadi, cintaku kepada APM tetap utuh. 

Aku sayang APM! ^___^

Kenangan sewaku majlis Konvokesyen - 14 September 2009

Ulasan

  1. assalamualaikum . saya ingin bertanya, adakah pelajar lepasan asasi layak untuk mengikuti program2 pengajian di apm ?

    BalasPadam
  2. Salam..

    Menarik baca entry adik ni...akak pn belajar kt APM 2003-2006.
    Bangga jer dpt blajar ctu wlpun mcm2 persepsi org..tp alhamdullah kwn2 akak rmai yg jadi cikgu wlpun akak x jd cikgu..jd org gomen jgk... insyaallah ade rezeki akak nk sambung master kt APM jgk...
    untuk adik akak ucapkan slmt maju jaya..biarpun ape persepsi org kite kene bangga krn di situlah kite menimba ilmu..

    BalasPadam
  3. Balasan
    1. Semua jabatan di apm tiada temuduga.
      :)

      Padam
  4. Sya plajar ijazah Penulisan Kreatif.. Smbung master dlm bidang APM sesuaikan?

    BalasPadam
  5. Bagus sangat kos ni sbb masyarakat melayu dah mulai hilang ciri ciri kemelayuan yg kaya adab sopan dan tatasusila.

    BalasPadam
  6. apa beza kesenian melayu dan sosio-budaya melayu diUM?

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ceritera Aku dan Komik

Gerimis di langit, gerimis di hati...dan tsunami...