Warkah Buat Nenek

Awal pagi ini, aku terkenangkan dia.

Nenek.

Sewaktu aku masih di bangku sekolah, masih ku ingat betapa dia begitu arif dengan selera makanku. Dia tahu benar aku seorang yang cerewet makan. Mak sendiri tak tahan dengan seleraku yang macam-macam itu. Aku masih ingat, bila aku datang bertandang ke rumah nenek, dia pasti akan hidangkan masakan kegemaranku, kari ayam dan kuah sardin. Seronok dia tengok cucunya itu makan nasi berpinggan-pinggan. Apabila tibanya Hari Raya, nenek hidangkan nasi himpit, rendang dan kuah kacang yang paling kugemari. Kelazatan masakan nenek setanding dengan masakan mak.

Aku masih ingat semua itu.

Sewaktu aku sakit demam, nenek akan mengubatiku dengan cara tradisional, menggunakan kunyit. Dalam kelesuan dan lemah kerana dilanda demam, rasa lucu juga melihat muka dan seluruh badan serba kuning, ditandai kesan kunyit. Malah, waktu aku mengalami sakit kepala yang teruk, dia pernah melumurkan kepalaku dengan perahan air asam jawa.

Tanda kasih tak terhingga kepada cucunya.

Sewaktu aku melangkah kaki ke menara gading, setiap kali cuti pertengahan semester, aku pasti akan tinggal bersama nenek. Seronoknya dapat meluangkan masa dengannya. Waktu itulah aku dapat tidur sebilik dengannya. Mendengar cerita dan luahan hatinya. Paling tidak kulupa, aku pernah demam teruk dan batuk sewaktu tahun pertama (degree). Nenek sukar lelapkan matanya bila aku batuk-batuk pada tengah malam. Terharuku dengan sikap ambil beratnya.

Aku masih ingat semua itu.

Setiap kali aku berpisah dengannya, setelah aku bersalam dan mencium tangannya, dia akan mengucup pipiku, serta adik beradikku yang lain.

KINI...

Tanggal awal pagi Jumaat, 27 Mei 2011, nenek telah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Mendengar perkhabaran itu, seluruh jiwaku melayang pergi. Sebab itu, sewaktu aku menziarahi arwah nenek buat kali terakhir, perasaan dan fikiranku pada waktu itu...nil. Kosong!

Namun, terima kasih Tuhan, kerana memberi peluang kepadaku untuk menatap wajah nenek buat kali terakhir, sebelum disemadikan...

Pada saat itu, aku menghadiahkan kucupan terakhir buat dirinya. Kerana aku tahu, selepas ini, nenek tidak akan mengucup pipiku lagi. Tiada.

Aku juga berpeluang melihat nenek dikebumikan. Itulah pertama kali kulihat dengan mataku. Ketika itulah, bagiku, tiada guna harta kekayaan dunia yang dikejar kerana ia tidak dibawa pergi bersama sekujur tubuh yang kaku itu...Semoga peristiwa ini menyedarkanku bahawa dalam mengejar kekayaan dunia, jangan dilupa amal ibadah sebagai bekalan untuk dibawa apabila pergi menyahut panggilan Ilahi.

Apa pun, nenek pergi sebelum sempat melihatku menghabiskan pengajian sarjanaku. Namun, syukur kerana dia sempat melihat kejayaanku sewaktu ijazah pertama dahulu.

Nenek, pagi ini aku terkenangkanmu. Aku amat merinduimu. Percayalah, kasihku padamu tiada berpenghujung. 

Nenek, aku hargai segala kasih sayang yang kau curahkan sejak kukecil sehinggalah saat kau menutup mata. 

Nenek...senyum tawa, keluh kesah dan tangismu sentiasa tersimpan di hati ini.

Terima kasih atas kasih sayangmu selama ini.
Semoga nenek bersemadi dengan aman di sana.

Al-Fatihah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ada Apa Dengan Pengajian Melayu?

KRABI 2018: Itinerari dan Bajet (4H 3M)

Kisah Klasik Untuk Masa Depan (Edisi Raya): Nostalgia Kad Raya