Ceritera Awal Tahun 2012

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Wahh...sudah 2 bulan memasuki tahun 2012, tetapi Ceritera Hati masih belum ada sebarang entri terbaru! 
Sah, bak kata teman sekampusku, "blog sudah pengsan!"

Perkembangan terbaru tuan punya blog ini:
  • Dalam proses menyiapkan tesis. Alhamdulillah, proposal penyelidikan sudah diluluskan pada 16 Disember 2011 yang lalu. Tajuk penyelidikanku: "Perkembangan Gaya dan Tema dalam Komik Melayu Era 1980-an dan Tahun 2000-2010". Sebuah kajian perbandingan dari sudut formalistik / gaya (melihat dari segi stroke lukisan, teknik dan lain-lain) dan tema dengan memilih komik dari dua era yang berbeza. Komik Mat Som (1989) karya Dato' Lat mewakili era 1980-an, sementara komik Misi 8A (2010) oleh kartunis bersaudara, iaitu Afiq Salam dan Nazry Salam mewakili komik Melayu tahun 2000-2010. Kajian ini juga mengenal pasti pengaruh asing yang terdapat pada komik yang dipilih. 

  • Agak berdebar juga kerana aku masih ada 2 pembentangan yang perlu dilalui (memandangkan aku merupakan sarjana dalam mode campuran; kursus dan disertasi, jadi aku perlu melalui 3 seminar pembentangan; pembentangan proposal, candidature defence (CD) dan pembentangan hasil penyelidikan / pembentangan akhir). CD...uhhh....>_<;;

  • Sementara cuti semester masih berlangsung selama 3 minggu ini, aku cuba mengisi masa dengan menyertai kursus sijil Microsoft Office dan Adobe Photoshop yang dianjurkan oleh Kumpulan Perangsang Selangor, dari 26 Januari hingga 17 Februari 2012 di Kolej Pendeta Za'ba, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kursus ini merupakan sebahagian daripada program Rangsangan Kerjaya Siswazah Selangor (RKSS) yang mana ia diadakan bagi membantu graduan / siswazah yang masih mencari pekerjaan untuk mendapatkan nilai tambah dan memantapkan kemahiran, di samping memberi peluang menimba pengalaman kerja menerusi praktikal / on-job training di organisasi terpilih. Selain kursus ini, ada kursus lain yang boleh disertai, rata-rata bidang yang tersenarai merupakan bidang yang mempunyai prospek kerjaya yang tinggi, antaranya kursus Operasi dan Pengurusan Halal, IT Admin, LAN Networking and Repairing Computer, Usahawan, Perbankan Islam, Sistem Bunyi, Analisis Data dan banyak lagi. Boleh rujuk pada laman Facebook RKSS (sila cari sendiri). Paling penting, kursus ini PERCUMA ya. Diulangi, PERCUMA. Eh, PERCUMA??? Ya, tuan-tuan dan puan-puan...anda tidak akan dikenakan yuran pengajian, yuran penginapan dan apa-apa bayaran pun! Siap diberi penginapan dan makan-minum percuma! Plus, diberi elaun oleh pihak Perangsang Selangor sewaktu mengikuti praktikal. Like in the heaven, heh? Eh...aku promosi di sini rupanya ya. Jadi, kepada yang berminat sila ambil perhatian ya! Oh ya, sekarang ini aku sudah mengikuti dua daripada lapan sesi bagi kursus Adobe Photoshop dan aku dimaklumkan bahawa akan ada projek yang perlu dilaksanakan bagi menyempurnakan keperluan kursus. Huhu...kena fikir idea dari sekarang!

  • Insya Allah, pada 28 hingga 29 Februari 2012, aku akan mengikuti Bengkel Penulisan Makalah Jurnal anjuran Pusat Perundingan dan Latihan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Terima kasih buat mak yang kukasihi; insan pertama yang memaklum dan mencadangkan supaya menyertai bengkel ini, dan ayah tercinta kerana sanggup mengeluarkan belanja untuk yuran penyertaan yang bagiku antara paling termahal dalam bengkel-bengkel yang pernah sertai sebelum ini. Insya Allah, aku takkan sia-siakan peluang keemasan ini. Aku percaya dengan yuran penyertaan semahal ini, insya Allah 'pelaburan' ini berbaloi. Semoga aku mendapat banyak input dan ilmu setelah menghadiri bengkel selama dua hari ini. 
Phew! Sibuk bukan? Semua ini demi masa depanku juga. Tiada lagi zaman 'take for the granted'. Tiada lagi masa untuk mengharap keajaiban turun di depan mata. Demi mencapai cita-cita, aku harus melengkapkan diri dengan segala ilmu dan kemahiran yang mantap, lebih-lebih lagi dalam menghadapi dunia yang serba mencabar ini. Persaingan semakin sengit, jadi aku tidak boleh berlengah lagi. Aku juga tidak mahu tertinggal gerabak kereta api bulet!

Ya Allah, Kau permudahkanlah segala urusanku...Amin! 



"Never Give Up!"


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ada Apa Dengan Pengajian Melayu?

KRABI 2018: Itinerari dan Bajet (4H 3M)

Kisah Klasik Untuk Masa Depan (Edisi Raya): Nostalgia Kad Raya