Kisah Klasik Untuk Masa Depan (Edisi Raya): Nostalgia Kad Raya



Saya masih terkenang sewaktu saya di bangku sekolah...apabila menjelang Syawal, perkara yang paling saya nantikan ialah...kiriman kad ucapan Hari Raya! Paling mesra disebut sebagai ‘kad raya’. Kad raya lazimnya dihantar oleh seseorang yang menetap jauh di perantauan kepada insan-insan yang disayanginya di kampung halaman – misalnya ibu bapa, adik beradik, sanak saudara, sahabat handai dan tidak lupa...isteri / suami atau kekasih hati. Dapatlah dikatakan kad raya dijadikan sebagai pengganti diri kepada penerima, lebih-lebih lagi sang penghantar itu tidak dapat pulang ke kampung halaman bagi meraikan lebaran. Namun, kad raya ini juga diperluaskan fungsinya dengan tidak sahaja dihantar kepada insan yang jauh di mata, tetapi juga yang seringkali kita jumpa, seperti rakan sekelas, sekuliah dan rakan pejabat, sebagai tanda penghargaan dan ingatan kita kerana mengenali dan menerima mereka sebagai sahabat yang mewarnai hidup kita. 

Apabila saya ke sekolah, betapa gembiranya hati ini apabila sahabat handai menghulurkan kad raya. Waktu itu saya pastikan siapa yang paling banyak menerima kad raya. Seringkali, yang mendapat kad raya terbanyak tentulah yang mempunyai ramai kawan dan peminat (peminat...?). Memandangkan saya sendiri tidak punya ramai sahabat seperti orang lain, maka bilangan kad yang diterima tentulah sebanyak bilangan sahabat saya itu! Apatah lagi peminat...haha, peminat mana yang sudi kirim kad kepada saya? Hihihi...Lainlah kalau bintang filem atau penyanyi pujaan, pastinya mereka menerima berpuluh ribu keping kad raya daripada peminat mereka!

Apabila telah menerima kad raya daripada teman-teman, sudah pasti saya akan membalasnya! Suatu masa dahulu, dengan semurah 10 sen sahaja kad raya mampu dibeli oleh semua lapisan masyarakat. Lazimnya, harga kad bergantung kepada saiz dan ciri istimewa yang terdapat pada kad raya tersebut. Semakin besar kad itu, ditambah dengan muzik lagu raya (seperti bunyi monotone) dan lampu ‘lip-lap’, semakin mahal harganya, hingga mencecah RM15! Sepanjang hidup saya, sehingga hari ini belum pernah menerima kad raya yang bersaiz besar, bermuzik dan mempunyai lampu berkelip-kelip! ;P

Sewaktu saya di sekolah rendah, saya hanya mampu membeli kad raya bersaiz kecil atau sederhana, tetapi dijual dalam bentuk set – lima keping kad dalam satu set. Lebih jimat dan berbaloi, kerana dapat dihantar kepada ramai kawan. Adakalanya tidak habis digunakan sehinggalah hari raya pada tahun berikutnya! Maklum, seperti yang telah saya katakan tadi, saya sendiri tidak punya ramai kawan karib...

Kaedah untuk menghantar kad raya kepada orang terdekat (rakan sekelas atau sekuliah misalnya) tidaklah sukar mana. Cuma hantar terus kepada si penerimanya, atau bagi yang ingin menghantar kad raya kepada ‘secret admirer’, boleh dikirim melalui orang tengah untuk disampaikan kepada si dia, hehe. Namun, bagi si penerima yang jauh di mata, maka si penghantar perlu membeli setem dan menghantarnya di pejabat pos. Sewaktu saya menetap di Labuan dahulu, saya meminta bantuan ayah dari membeli setem sehinggalah memasukkan kiriman kad-kad raya ke dalam peti besar (selalunya ayahlah yang menaja setem untuk saya! Hehehe, bertuah punya anak! =P). Selalunya, proses penghantaran kad raya agak memakan masa, maka kad raya perlu dihantar lebih awal. Sekiranya dihantar saat akhir, maka si penerima akan mendapat kiriman kad itu selepas Hari Raya.

Menarik untuk disentuh mengenai desain kad raya. Boleh dikatakan kad raya wajib disertakan imej masjid (paling tidak pun kubah bentuk bawang yang agak “famous”), ketupat dan bunga. Sesekali ada gambar pelita (tapi tidak ada gambar mercun ya? Hehehe!) dan pernah juga mendapat kad raya bergambar acuan kuih bahulu, yang dikirim oleh Aunty Jaya, pemandu bas yang berkhidmat menghantar saya ke sekolah dahulu! (Tetapi saya tidak ingat, di mana saya simpan kad itu...) Satu perkara yang saya ambil perhatian sewaktu saya menerima kad ucapan Aidilfitri itu ialah melihat jenama atau syarikat yang menghasilkan kad tersebut! Emm...walaupun saya masih di bangku sekolah, tetapi sudah pandai mengenal pasti jenama yang sering hasilkan kad raya yang cantik! Seringkali, jenama Memory Lane menghasilkan kad raya yang cantik dan ‘fancy’ dan harganya juga sedikit mahal berbanding jenama lain. Sementara jenama lain seperti Harmony, Totalcare, Carduta dan lain-lain juga menghasilkan kad raya yang tidak kurang cantiknya dan harganya juga berpatutan dan mampu dibeli. Terdapat juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO), khususnya pertubuhan golongan orang kurang upaya yang juga menghasilkan kad-kad raya dan rekaannya juga sangat cantik. Imej-imej tersebut digambarkan sama ada dalam bentuk fotografi, bantuan grafik komputer, ataupun lukisan menggunakan medium cat air (lazim dihasilkan oleh NGO yang saya sebutkan sebelum ini). Sementara teks pada kulit depan kad, terutama pada ungkapan ‘Salam Aidilfitri’ atau ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ menggunakan ‘hot stamp’ berwarna keemasan atau perak (metalic) bagi menjadikan kad tersebut kelihatan ‘mewah’.

Satu lagi desain kad raya yang paling popular ialah kad raya dalam bentuk kartun. Apa yang menarik, kad raya dalam kategori ini turut mempersembahkan sedikit sketsa atau cerita bertemakan raya yang lucu, namun tetap ada mesejnya tersendiri. Antara skesta raya yang popular ialah pengajaran kepada orang yang degil bermain mercun dan meriam buluh hingga putus jari atau ‘berhari raya’ di hospital, sketsa orang yang tidak dapat pulang ke kampung kerana menjadi mangsa penipuan ‘ulat tiket’ dan banyak lagi. Selain kartun, keunikan kad raya juga dilihat pada penghasilan kad raya berbentuk wang Ringgit – RM 10, RM 5, RM 2, tetapi jangan sangka itu wang sebenar pula!

Risiko tidak mendapat balasan kad seperti yang diharapkan juga tetap ada. Banyak kali juga saya berdepan dengan situasi ini. Menghantar kad ucapan kepada seseorang tetapi dia tidak pula membalasnya, walaupun saya ada menyatakan pantun popular berbunyi;

“Pecah kaca, pecah gelas,
 Sudah baca, harap balas.”

Tetapi tidak mengapalah. Keikhlasan itu lebih penting sebenarnya berbanding mengharapkan balasan. Mungkin juga seseorang itu tidak punya kesempatan untuk membalas, lantaran kesuntukan masa, sibuk ataupun telah bertukar alamat surat-menyurat (bersangka baik...;D) Apapun, mungkin pantun yang lebih sesuai untuk si penerima yang tidak berpeluang membalasnya;

“Pecah kaca, pecah tong,
 Sudah baca, harap gantung.”

Peredaran zaman dan perkembangan dalam bidang teknologi maklumat menyaksikan kad raya konvensional sudah kian dilupakan pada hari ini. Kepupusan kad raya konvensional ini sudah mula dirasai sejak saya menjejakkan kaki ke universiti pada tahun 2006. Hal ini kerana bilangan kad yang saya terima pada saat itu sudah tidak sebanyak sewaktu saya di bangku sekolah dahulu. Kali terakhir menerima kad raya daripada teman sekampus pada tahun 2008.

Populariti laman sosial seperti Friendster dan Facebook, kenaikan harga setem, dan lambakan laman-laman web yang menawarkan e-kad, iaitu kad raya dalam bentuk digital secara percuma merupakan faktor-faktor yang menyumbang kepada kepupusan kad raya konvensional. Sebelum kemunculan laman-laman sosial di internet, telah ada perkhidmatan kiriman ucapan raya melalui sistem pesanan ringkas SMS dan MMS. Pada hari ini, agak mudah untuk menitipkan ucapan hari raya kepada sesiapa sahaja yang berada di seluruh dunia melalui laman sosial Facebook. Cuma upload gambar bertemakan hari raya, taip sedikit ucapan dan tagkan kenalan-kenalan FB yang ada! Mudah bukan? Cepat dan menjimatkan masa dan wang! Asalkan ada sambungan internet, itu sahaja...

Namun, secara peribadi saya masih menggemari kad raya konvensional, dan ada sebab mengapa saya menyatakan sedemikian. Dengan kad raya konvensional tersebut, saya lebih menghargai persahabatan yang terbina (namun tidak bermakna saya langsung tidak menghargai persahabatan sekiranya menerima ucapan daripada SMS dan e-kad!). Malah, kegembiraan untuk menyambut Aidilfitri juga semakin bertambah. Tidak percaya? Apabila posmen datang ke rumah untuk menghantar kad yang dikirim oleh teman, kegembiraan yang dirasakan itu memang sukar digambarkan, apatah lagi baru mendengar deru motosikal posmen di depan rumah! Saat membuka sampul kad juga merupakan saat yang mendebarkan kerana tertanya-tanya siapa gerangan sang pengirimnya, melainkan kalau kita sendiri sudah cukup mengenali bentuk tulisan sang pengirim. Bagi saya, kad raya itu sebagai tanda ingatan seseorang terhadap kita. Sudah tentu kad raya tidak akan dihantar sekiranya mereka tidak lagi mengenali atau mengingati kita, bukan?

Dengan kad raya konvensional, ia akan mengenang kembali memori persahabatan yang pernah tercipta suatu masa dahulu. Apabila saya menatap kembali satu persatu kad-kad raya yang pernah dihantar oleh sahabat-sahabat saya, saya pasti akan tersenyum kembali. Serta merta kenangan bersama mereka tiba-tiba muncul dalam ingatan. Ada yang sengaja mengirim ‘duit raya’ kononnya, tetapi hanya duit syiling 1 sen, 5 sen! Ada yang berani mengirim wang kertas RM100 ke dalam kad raya? Hahahaha!

Sementara e-kad (kad elektronik) atau kad raya digital, kita masih dapat membaca pada waktu kita menerimanya, namun pada masa akan datang belum tentu kita berpeluang membacanya kembali sebagaimana kad konvensional. Malah, ada sesetengah e-kad yang sukar dibuka kerana ketidaksesuaian format fail dengan komputer kita. Sekiranya masih menyimpan kad ucapan yang diterima sewaktu di bangku sekolah dahulu, tidak mustahil sampai saat ini kita masih berpeluang untuk menatapnya kembali! Sehingga kini, saya masih menyimpan kad raya konvensional di dalam kotak khas, dan sesekali saya akan menatap kad itu kembali tatkala merindui sahabat-sahabat saya yang jauh di mata itu...

Hari raya tahun ini, saya tidak lagi menerima kiriman kad ucapan Hari Raya daripada sesiapa, dan saya sendiri juga tidak menghantar kepada sesiapa pun. Ya, sudah pasti saya hanya akan mengucapkan selamat hari raya melalui FB atau SMS sahaja pada malam raya nanti. Namun, jauh di sudut hati, saya tetap merindui kad raya konvensional dan kenangan manis saat menerima kad raya kiriman teman-teman tidak mungkin akan dilupakan sampai bila-bila. =) 

Gambar-gambar di bawah ini merupakan sebahagian daripada koleksi kad raya kiriman rakan-rakan sewaktu di bangku sekolah dahulu. Banyak lagi sebenarnya, tetapi cukuplah saya tampilkan empat sahaja di sini. :)

Sekian, selamat berbuka puasa dan selamat hari raya! 

Imej masjid, ketupat dan pelita menjadi satu kemestian dalam rekaan kad raya

Kad raya 'hand made' , dihasilkan oleh salah seorang kenalan sewaktu  sertai Bengkel Pelukis Muda di Sarawak pada tahun 2002. 

Kad raya kartun

Kad raya bentuk pen (bahagian depan)
Kad raya bentuk pen (bahagian dalam)



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ada Apa Dengan Pengajian Melayu?

KRABI 2018: Itinerari dan Bajet (4H 3M)