Teenlit, Chicklit, PELIT, ....Lit???

Setelah menjadi novelaholic tegar sejak beberapa bulan yang lalu, saya memang sentiasa mengikuti perkembangan terkini novel-novel fiksyen terbitan dalam negara. Apa yang sedang laris di pasaran seperti pisang goreng panas, apa judul yang baru sahaja melompat keluar dari mesin pencetak, dan genre fiksyen apa yang baharu 'dilahirkan' pada masa kini. Semua saya mahu ambil tahu, dari novel kanak-kanak hinggalah novel dewasa. Tetapi saya lebih spesifik kepada novel remaja dan awal dewasa kerana itu yang lebih dekat dengan diri saya. (yakah?) ;P

Malah, sejak beberapa bulan ini jugalah baharu saya tahu bahawa dalam fiksyen itu sendiri sudah ada banyak cabang genrenya. Suatu ketika dahulu, asal sahaja menyebut novel, orang pasti akan merujuk kepada novel cinta. Padahal, novel tidak sekadar novel cinta ya. Novel cinta itu hanyalah salah satu cabangnya sahaja, tetapi, ya maaflah wahai peminat tegar novel cinta, saya tidak berniat untuk merendah-rendahkan minat anda terhadap genre tersebut. Tetapi adakalanya pembaca seperti saya mahukan kelainan dalam persembahan novel fiksyen. Baik, dalam kata lain, saya lebih suka elemen cinta dijadikan sebagai satu subplot sahaja, bukannya plot keseluruhan, sebab saya akui juga sekiranya tiada elemen cinta, novel sudah kelihatan seperti buku teks sejarah SPM pula.

Baik, baik. Berhenti melalut, Zaini.
T_T

Sebelum ini, terdapat beberapa genre novel yang agak popular dalam kalangan remaja dan awal dewasa (20's something) iaitu TEENLIT dan CHICKLIT.

Teenlit (sastera remaja) merupakan genre fiksyen yang membolehkan penulis menjadi kaya-raya kerana kebanyakan karya mereka berupaya menjadi 'best-seller' dan dicetak berkali-kali. Genre ini begitu dekat di hati remaja yang masih 'hijau' dan masih memakai seragam sekolah, khususnya pelajar perempuan. Lazimnya. novel teenlit yang mempunyai elemen 'chicky' (trend gadis yang gemar berpenampilan menarik, bergaya dan trendy mengikut aliran semasa) menjadi pilihan mereka, selain plot yang berlatar belakangkan alam persekolahan, asrama dan dunia kampus. Setakat ini, di Malaysia, penulis Teenlit yang sudah kaya raya dengan hasil tulisannya sahaja ialah Ain Maisarah dengan peminat tegarnya yang sudah mencecah angka ribuan.Chicklit pula lebih kepada plot yang berlatar belakangkan dunia kampus dan alam pekerjaan. Genre ini sudah lama bertapak di US dan Indonesia, tetapi di Malaysia ia masih lagi baharu tetapi sedang berkembang biak dengan pesat. Lazimnya chicklit menonjolkan watak perempuan yang berusia awal 20-30 an, tetapi adakalanya watak lelaki juga tidak ketinggalan. Tema dan persoalan lebih kepada permasalahan dalam kehidupan serba moden, umpamanya hubungan persahabatan, kekeluargaan, percintaan (tetapi hanya sebagai tema sampingan), masalah ingin menguruskan badan, ketagihan membeli-belah dan barangan berjenama, masalah di tempat kerja dan kampus dan lain-lain. Perlu diingat, unsur HUMOR adalah unsur utama bagi genre ini. Dengan itu, novel chicklit mestilah membuatkan kita mampu ketawa terkekek-kekek sendiri sampai terpaksa menerima tuduhan daripada orang lain yang mengatakan bahawa kita sudah 'gila'. Pernah dengar judul novel yang bertajuk Confessions of a Shopaholic karya Sophie Kinsella? Itulah novel chicklit yang terlaris di US. Sementara di Malaysia, Aku, Dia dan Coklat karya Lily Haslina Nasir sudah diulang cetak beberapa kali sampai sudah tidak ada stok lagi di dalam gudang! (menurut pihak penerbitan PTS) Mungkin ramai yang berasa seronok untuk membaca novel itu sambil menikmati coklat kegemaran masing-masing.
Seterusnya, ya...genre terbaharu tetapi tidak begitu baharu di negara lain, iaitu PELIT. Bukan PELIK ya, tapi PELIT. PELIT merujuk kepada akronim personal literature, iaitu gaya penulisan yang berbentuk entri diari atau blog. Dalam bahasa mudah, jurnal peribadi yang dibukukan menjadi sebuah novel.

Pembaca: Eh, diari dijadikan novel? Bukankah diari itu merupakan sebuah 'harta' penuh rahsia lagi misteri (sebab mana mungkin penulis diari membenarkan sesiapa membaca diari tanpa kebenaran daripadanya!). Bak kata orang Inggeris, private and confidential.

Admin blog: Diarilah sebenarnya merupakan buku yang paling disukai oleh semua manusia! Siapa sahaja tentu hendak tahu rahsia diri kita bukan?

Sebagaimana chicklit, unsur humor juga merupakan unsur utama genre ini. Tetapi, sewaktu saya sedang meneliti genre terbaharu ini, tiba-tiba saya teringat akan sebuah novel lama terbitan tahun 1997 iaitu Diari Seorang Guru (terbitan Alaf21). Saya dapat merasakan ia adalah novel bergenre PELIT tetapi memandangkan genre itu belum diperkenalkan secara rasmi di negara ini pada waktu itu, maka ia termasuk dalam novel cinta yang biasa kita lihat di kedai buku. Mengapa saya kata novel DSG itu merupakan PELIT? Sebab ia berbentuk entri diari dan ada banyak unsur humor di dalamnya. Malah plot cinta dalam novel itu dipersembahkan dalam bentuk yang lucu dan segar, bukan melodrama (sedih hingga tangkap leleh). Sehingga sekarang, saya masih tidak jemu membaca novel itu dan masih mampu ketawa apabila membacanya. Malah, kakak saya yang bukan novelaholic tegar itu pun boleh jatuh cinta sambil jatuh tertiarap akan novel itu.
Di Indonesia, PELIT sudah lama berkembang dan setakat ini, novel yang popular ialah Kambing Jantan : Sebuah Catatan Harian Pelajar Bodoh karya Raditya Dika. Menurut sumber daripada laman web yang memaparkan review buku ini, ia merupakan himpunan kisah lucu dan dianggap 'bodoh' yang terpapar di blog peribadi penulis ini lalu dibukukan. Tetapi biasalah, setiap sesuatu itu ada pro dan kontranya. Ada yang mengatakan, novel itu langsung tidak ada unsur moral kerana mengaibkan nama baik diri, keluarga dan sanak saudara penulis itu sendiri. Ada juga yang suka bangat sebab ia adalah novel ringan, santai dan boleh meredakan stress dan jiwa yang sedang bergelora.

Sementara di Malaysia selain Diari Seorang Guru yang saya sebutkan sebelum ini, ada novel PELIT terbaharu terbitan PTS One, iaitu Diari Mat Despatch karya Bahruddin Bekri dan Diari Si Ratu Air Mata (Natasya Effyzal). Saya sudah mendapatkan dua karya tersebut dan ya, ia memang melucukan. Novel Diari Mat Despatch mampu membuatkan saya seperti orang gila kerana asyik ketawa sendirian. Diari tersebut merupakan catatan seorang penghantar dokumen atau nama popularnya Mat Despatch yang berhasrat untuk menjadi editor sambilan di sebuah syarikat penerbitan. Bagi memantapkan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) yang mana ia merupakan syarat utama bagi melayakkan diri untuk menjawat jawatan tersebut, si Mat Despatch ini terus membeli buku laporan sains (bukan buku diari) dan dijadikan sebagai catatan hariannya. Paling menarik, terdapat tips penggunaan BMT yang boleh dikongsi bersama dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Jadi, adik-adik di luar sana, saya jamin guru disiplin tentu tidak akan merampas novel ini sekiranya dibawa ke sekolah kerana ia bukan novel picisan. Walaupun ada unsur humor tetapi tetap diselitkan dengan mesej dan teladan, bukan hanya omong kosong.

Diari Si Ratu Air Mata pula merupakan catatan si gadis yang 'super-cengeng' (seperti sayalah) dan bertambah 'cengeng' apabila terpilih untuk bersekolah di sekolah asrama penuh. Kira anak manjalah ini, selalu homesick dan rindu akan keluarganya. Boleh pula menangis sambil makan, tidur, mandi, dan menulis diari! Tentu mata si gadis ini terlalu sepet kerana bengkak akibat kerap menangis.

Agaknya selepas ini diari siapa bakal kita baca beramai-ramai ya? Jangan 'Diari Seorang Mat Rempit' sudahlah! Tetapi sekiranya diari itu berkisahkan seorang 'Mat Rempit' yang sudah insaf dan bertaubat tidak mahu 'merempit' lagi mungkin boleh dipertimbangkan.

Nota tangan: Jangan pula selepas ini ada yang 'menculik' diari milik orang tua anda, adik beradik atau saudara mara dan kawan-kawan, kemudian dengan selamba dijadikan manuskrip novel untuk dihantar ke syarikat penerbitan. Memang anda sengaja menempah maut.

Comel bukan gambar mat despatch ini? Heh, cakap banyak tidak guna, dapatkan novel ini di kedai buku berdekatan sekarang! Sementara stok masih ada.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ada Apa Dengan Pengajian Melayu?

KRABI 2018: Itinerari dan Bajet (4H 3M)

Kisah Klasik Untuk Masa Depan (Edisi Raya): Nostalgia Kad Raya