Kisah Klasik untuk Masa Depan #1: Surat Pena


Post kali ini aku cuba untuk mengajak para pembaca sekalian untuk melupakan sejenak Facebook, Twitter, Wikileaks (sungguh kontroversi ini website), Iphone dan macam-macam lagi yang menduduki carta popular di enjin carian Google.

Sila lupakan mereka semua di atas buat sementara waktu! =P

Aku ingin membawa anda ke masa silam, yang mana anda mungkin pernah alaminya suatu masa dahulu. Oh ya, awal-awal aku ingatkan kepada sesiapa yang tidak berminat untuk membaca kisah berkenaan kisah lampau (maklum la, berbaur sejarah...tentu mengantuk!), dipersilakan untuk mengundurkan diri daripada terus membaca post kali ini. Terima kasih!

Kepada yang tetap setia untuk membaca post ini, sila pasangkan mata dan hati. Haha, ini bukan post yang serius dan berat untuk difikirkan seperti seputar dunia politik dan gejala sosial yang mengecamukkan kepala otak, tetapi hanya sekadar untuk mengimbau kenangan lampau yang mungkin pernah mewarnai hari muda anda suatu ketika dahulu...

Kali ini aku ingin bercerita tentang hobi berutus surat pena, haha...bak kata orang London - penpal letters. Rasanya tentu anda pernah mengutus surat kepada kenalan baharu (bukan kenalan tadika, sekolah ataupun jiran sebelah rumah anda ye!) sama ada dari dalam negara mahupun di luar negara, bukan? Sebenarnya ia merupakan salah satu hobiku sewaktu di bangku sekolah dahulu. Oh, ini semua terpengaruh dengan rakan sekelas yang juga suka mengutus surat kepada sahabat penanya.

Dulu tiada e-mel dan Facebook, jadi, salah satu cara untuk mengenali sahabat baharu ialah dengan mengutus surat perkenalan kepada mereka.
Seronok kan dapat surat sebanyak ini? Tetapi kalau bil elektrik atau surat hutang PTPTN sebanyak ini tentu sahaja membuatkan kita sakit jantung!

Aku masih ingat, aku memulakan hobi ini dengan membeli majalah hiburan berbahasa Inggeris, Galaxie (tidak pasti sekarang masih wujud lagikah majalah ini?) dan terus selak ke halaman paling belakang, sebab di situ merupakan ruangan untuk berkenal-kenalan melalui surat. Lebih kurang 4-5 halaman (kalau tak silap) penuh dengan senarai nama, alamat surat-menyurat dan e-mel (tidak ramai yang ada e-mel pada waktu itu). Waktu itu aku akan memilih beberapa nama yang 'bertuah' untuk dijadikan sahabat.

Eh, hampir terlupa, dalam setiap ruangan itu, individu yang tersenarai namanya akan menerangkan sedikit latar belakang mengenai mereka, seperti tempat asal kelahiran, muzik atau selebriti kegemaran, dan ciri-ciri sahabat yang mahu dikenalinya. Ada sesetengah yang memperkenalkan dirinya dengan ayat yang menarik hati, dan ada yang biasa-biasa sahaja.

Oh, paling penting bahasa yang mereka mahu gunakan sewaktu mengutus surat. Ada yang mahu:
  • Bahasa Melayu (BM)semata-mata - sahabat yang Melayu sejati (orang kampung mungkin)
  • Bahasa Inggeris (BI) sahaja. Kalau guna BM nanti tidak akan dilayan. Selalunya mereka ini yang berbangsa bukan Melayu, dan Melayu bandar yang sangat fasih berbahasa Inggeris mengalahkan orang Inggeris.
  • Bahasa Mandarin - majoriti sahabat yang berbangsa Cina
  • Satu lagi, paling popular dan sangat bertoleransi - 'bahasa rojak'. BM boleh, BI pun boleh, atau kedua-duanya sekali.
Setelah beberapa 'mangsa' dipilih, aku akan menuliskan surat perkenalan dan hantarkan kepada mereka. Lazimnya mereka akan membalas surat yang kukirim, namun ada juga surat yang mungkin telah 'diserahkan' kepada tong sampah untuk 'membacanya'. Tetapi kebanyakan mereka telah memberi respon yang positif kepadaku.

Aku masih dapat bayangkan betapa terujanya aku apabila telah menerima surat balasan daripada mereka. Hal ini kerana mereka sungguh kreatif, tidak hanya menggunakan sampul surat biasa yang dikelilingi jalur biru-merah itu, tetapi pelbagai pendekatan mereka gunakan. Ada yang menggunakan sampul bergambar 'watermark' seperti gambar bunga, meja tulis, pemandangan dan macam-macam lagi. Malah, ada yang sangat kreatif tetapi menjimatkan - menggunakan helaian majalah yang bergambar seperti gambar beruang dan kertas warna, dilipat menjadi sampul surat. Tulisan mereka juga sangat 'fancy' dan beraneka rupa paras, namun mujur posmen yang sangat cekap lagi arif dengan lokasi sekitar kediamanku tetap menghantar surat itu ke peti pos di depan rumahku. Adakalanya mereka tersalah tulis nombor poskod namun surat itu tetap sampai di rumahku. Terima kasihlah wahai encik posmen yang pandai itu. Emm entah masih hidup lagikah encik posmen yang sedia berkhidmat dan sangat cekap menghafal alamat rumahku pada sepuluh tahun yang lalu...

Apabila telah menerima surat balasan mereka, maka aku akan terus menulis lagi kepada mereka sebab mereka juga banyak bertanyakan soalan kepadaku untuk dijawab. Kami saling berbalas surat namun tidak semua sahabat yang begitu. Ada juga yang hanya berbalas sekali dua sahaja, dan kemudian terus mendiamkan diri. Tiada respons. Mungkin juga mereka telah bertukar alamat ataupun sudah tidak berminat lagi meneruskan hobi mengutus surat itu. Jadi aku biarkan sahaja mereka dengan dunia mereka. Hahaha.

Aku masih ingat, aku pernah mengutus surat kepada seorang sahabat pena yang berbangsa Melayu, namun apabila aku membaca surat balasannya, oh...dia tulis dalam bahasa Inggeris sepenuhnya! Bahasa Inggerisnya tahap pelajar yang ambil bidang TESL (Teaching English as Second Language) di universiti. Aduhai! Tidak fasal-fasal kena speaking pula dengannya. Tetapi dia bukanlah Miss Smith atau Britney Spears. Dia Melayu okay! Melayu mudah lupa agaknya. Ohh...bagaimanalah budak Tingkatan Dua sepertiku pada waktu itu dapat membalasnya dalam bahasa Inggeris? Tahap penguasaan bahasa Inggerisku pada waktu itu masih di tahap 2/6. Speaking tidak pandai, tetapi sudah boleh menyanyi lagu dalam bahasa Inggeris sebab waktu itu aku memang meminati lagu-lagu pop Barat. Tidak silap, sejak itu aku langsung tidak mengutus surat kepadanya lagi. Haha! Lain kali tulislah surat dalam bahasa Jerman pula, mudah-mudahan aku boleh membalasnya dalam bahasa Rusia pula! =P

Hanya ada seorang dua yang begitu setia mengutus surat sehingga akhirnya aku terpaksa mendapatkan kotak kasut atau kotak jigsaw puzzle yang kosong untuk mengisi surat-surat yang banyak itu. Namun, itulah keseronokan yang lahir di jiwaku yang masih hijau itu! Aku seolah-olah menjadi seorang selebriti yang menerima berpucuk-pucuk surat yang dikirim peminat. Haha, perasan! =P

Oh, kotak ini juga mengejekku 'Boo!'? Memang kurang asam!

Paling seronok, rakan sekelasku juga mempromosikan beberapa kenalannya kepadaku. Ada juga yang memberi respons. Jadi sangat meriahlah kegiatan mengutus surat kepada sahabat pena ini. Dalam kelas, rakan sekelasku akan serahkan surat sahabat penanya kepadaku, dan begitu juga denganku. Kami saling berkongsi sahabat pena yang sama. Sungguh seronok kerana dapat meluaskan lagi jaringan perhubungan (networking). Pernah mendapat kenalan dari Kelantan, Perak, dan tidak ketinggalan di sekitar Lembah Klang ini sahaja (KL dan Selangor)!

Adakalanya, bila bosan, aku akan selongkar surat-surat di dalam kotak khas itu lalu membaca semula isi kandungannya. Waktu itulah aku akan tersenyum sendiri, ketawa sendiri, tetapi menangis sendiri belum lagi terjadi. Mana yang kerap mengutus surat denganku membuatkan kami menjadi rapat dan tidak segan berkongsi hal peribadi...termasuk bab perhubungan cinta. Selalunya aku lebih gemar membaca kisah orang lain daripada menceritakan hal sendiri, maklum, aku waktu itu mana ada teman lelaki...

Sungguhpun begitu, kegiatan menulis surat ini semakin berkurang apabila aku dan keluarga berpindah jauh meninggalkan Kuala Lumpur ke Malaysia Timur, iaitu WP Labuan, memandangkan aku tersilap memberi alamat rumah kepada sahabat penaku. Oh, kasihan mereka! Surat mereka entah diletakkan di mana! Tentu tong sampah yang sudi membacanya! Memang aku yang bersalah dalam hal ini...huhuhu! Tambahan pula, pada tahun aku berada di pulau itu, aku sibuk menghadapi peperiksaan PMR, jadi aku lebih memfokuskan diri kepada pelajaran. Kemudian, pada tahun berikutnya, aku sudah mula berjinak-jinak dengan dunia IT, yang mana aku akhirnya mendapat alamat e-mel sendiri...

Sesekali aku terfikir, sekiranya pada masa ini aku ingin memulakan semula hobi yang telah sekian lama 'mati' itu, tentu sahaja ia tidak lagi mendapat sambutan hangat seperti dulu. Hal ini kerana:

  • Facebook sangat popular pada masa kini. Bukan sahaja teman sekolah dan universiti, tetapi sampai saudara mara pun sudah berjinak-jinak menggunakannya - menyebabkan aku merasakan sudah tidak ada lagi ruang 'privacy' untukku apabila dilanda jiwa kacau...eh, melalut pula aku ni! Tentu sahaja mereka akan kata aku ini ketinggalan zaman.
  • Harga sekeping setem pada masa ini sangat mahal. Diulangi, mahal. Dahulu boleh dapat 30 sen, namun sekarang harga sudah dua kali ganda mahalnya. Ermm...mahu kena fikir dua tiga kali sekiranya mahu meneruskan hobi menulis surat itu.
Kalau setem tempatan yang bergambar padi, buah nanas, buah manggis dan ada potret YDPA/Sultan negeri sudah berharga 60 sen, apatah lagi setem edisi khas seperti ini! Setem Star Wars di atas itu tentunya lebih mahal kan?
  • Sekarang aku sudah malas menulis dengan tangan. Malah menulis diari pun menggunakan Microsoft Word. Tulisan pun sudah tidak secantik dahulu. Lagi satu, aku juga malas pergi membeli setem dan menghantar surat ke peti pos. Oh, memang pemalas betul budak Rini Safiyyah ni.
Atas sebab itu, hobi menulis surat kepada sahabat pena kini hanya tinggal kenangan. Namun, ia tak mungkin dapat kulupakan sampai bila-bila, sebab aku masih lagi menyimpan sebuah kotak yang sarat dengan surat-surat kiriman sahabat pena dan sahabat lama sekolah di Labuan dahulu.

Ermm...surat daripada sahabat pena sahaja ya. Surat cinta tak pernah dapat pun! =P

Untuk post akan datang, aku akan berkongsi lagi kisah klasik lain kepada para pembaca semua. Apa kisahnya? Tunggu dan lihat!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ada Apa Dengan Pengajian Melayu?

KRABI 2018: Itinerari dan Bajet (4H 3M)

Kisah Klasik Untuk Masa Depan (Edisi Raya): Nostalgia Kad Raya