Meniti usia, Melangkah ke tahun baharu dengan azam baharu


Sekarang sudah melangkah ke 11 Muharram. Sudah 11 hari meraikan tahun baharu Hijrah.

10 Disember juga sudah berlalu. Dengan rasminya umurku mencecah 24. 24??? Sementara kawan-kawanku yang lain (selain bulan Disember) akan melangkah ke 25 lebih awal. Kira aku muda lagilah kan? Hehehe...

Kepada rakan-rakan FB yang menghadiahkan ucapan dan doa sempena ulangtahun kelahiranku, jutaan terima kasih kuucapkan. Hanya Allah yang mampu membalas baik budi kalian. Aku turut mendoakan agar kalian juga diberkati Tuhan, dimurahkan rezeki, diberi kesihatan yang baik, serta bagi yang masih belum berpunya cepat2 bertukar status. Hahaha...=P

Selepas Isyak tadi, mak ada tunjukkan satu artikel (majalah Anis) yang benar-benar memberiku semangat. Artikel itu menceritakan seorang penulis novel Islami di negara ini (bapanya seorang penulis dan penerbit rancangan dokumentari & drama TV Islami terkenal) yang akhirnya bertemu jodoh tepat pada masa yang telah beliau tetapkan setelah bersungguh-sungguh berdoa kepada Allah. Beliau selamat diijab kabulkan pada usia 26.

Apa yang penting, beliau bertemu jodoh setelah segala impian dan angan-angan lain telah dikecapi, iaitu melanjutkan pengajian di universiti selepas SPM, menjadi penulis kreatif, mengembara ke serata dunia, dan menyambung pengajian ke peringkat sarjana.

Nampaknya aku juga mempunyai impian yang sama seperti beliau.

Sebelum berkahwin, aku mahu...
  • selesaikan pengajian sarjana dan seterusnya mendapatkan pekerjaan
  • menjadi pengembara, melihat, mengamati serta merakamkan suasana dan gelagat masyarakat sewaktu berada di negara orang
  • menjadi penulis + pelukis komik = menghasilkan karya yang mampu menjadi ejen perubahan; mampu mengubah seseorang ke arah kebaikan
  • membalas jasa mak dan ayah serta membantu keluarga
Berangan-angan, mengimpikan sesuatu amatlah mudah, malah percuma pula. Namun untuk merealisasikannya, amatlah payah. Semuanya memerlukan formula DUIT= Doa, Usaha, Istiqamah (konsisten, berterusan), dan Tawakal; meletakkan segalanya pada penentuan Yang Maha Berkuasa. Semuanya memerlukan air mata, wang Ringgit, tenaga, dan masa. Halangan dan cabaran? Sudah tentu akan menantiku!

Jujurnya, aku bukan nak katakan bahawa perkahwinan menghalang diriku untuk melaksanakan impian, namun harus diingat, apabila telah berkahwin, aku akan memikul lebih banyak tanggungjawab, peranan serta menongkah cabaran yang lebih tinggi. Hidup bersama si dia bukan untuk sehari dua, tetapi tentulah sehingga ke akhir hayat. Menjalin ikatan bersama si dia bukan hanya untuk berseronok, tetapi perlu juga menghadapi segala pahit getir bersama-sama. Atas sebab itu, selagi masih berpeluang, selagi diizinkan Tuhan, biarlah aku melaksanakan semua cita-cita lain terlebih dahulu. Dengan itu, apabila aku telah berkahwin, aku dapat memfokuskan diri kepada kehidupan kami berdua, atau mungkin juga bertiga, berempat, berlima.......

Namun, buat masa ini aku hanya mampu mengucapkan 'Insya Allah'...Semuanya akan terjadi dengan keizinan-Nya. Sebaik-baik perancang bagi segala perancangan kita hanyalah Dia.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ada Apa Dengan Pengajian Melayu?

KRABI 2018: Itinerari dan Bajet (4H 3M)

Kisah Klasik Untuk Masa Depan (Edisi Raya): Nostalgia Kad Raya