Dunia Komik: Graphic Diary (GD)

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sudah lama saya tidak menyiarkan entri yang berkaitan dengan dunia komik. Setahun yang lalu, saya ada menulis entri bertajuk 'Komik Syariah Compliant' (SC) yang menyentuh tentang perbezaan antara komik konvensional dengan Komik SC yang diperkenalkan oleh syarikat penerbitan PTS Millenia (anak syarikat PTS Publications). Boleh klik pada link ini untuk bacaan lanjut.

Entri kali ini saya ingin membawa kepada salah satu genre dalam komik, dinamakan sebagai Graphic Diary (GD). Berdasarkan pemerhatian saya, setakat ini di Malaysia, genre komik lain seperti Graphic Novel sedang berkembang pesat, dan diusahakan oleh beberapa buah syarikat penerbitan, antaranya Gempak Starz (lebih cenderung ke arah komik berkonsepkan manga hasil karya pekomik tempatan), Komik-M (PTS Millenia), dan Ana Muslim (Blue-T Publications). Saya percaya, semua peminat komik sudah mengenali apa itu Graphic Novel, tetapi tentu ada yang belum mengenali apa itu Graphic Diary.

Apa itu Graphic Diary?

Diari bergambar.

Betul! Tepat sekali! ...apa? Mahu hadiah sebab dapat jawab dengan betul? Okay, nanti saya beri...

CIKUUU CAKKK!!!! Ahaaa...comel tak? Haha...! =P

Seekor cicak warna biru! Eh, ia seperti mahu memberi 'ciuman terbang' untuk kamu semua!!! Hahaha!
Saya gurau saja. Jangan marah ye. Comel juga cicak itu...

Sebenarnya, saya sendiri pun baru saja mengenali istilah GD ini. Semuanya secara kebetulan, apabila saya masih berpinar-pinar mencari maklumat dan artikel berkenaan kajian komik yang telah dilakukan oleh para sarjana di serata dunia. Suatu ketika, saya menemui sebuah abstrak kertas persidangan bertajuk Women’s Manga Beyond Japan: Contemporary Comics as Cultural Crossroads in Asia yang diadakan di Singapura pada tahun lepas (kalau tidak silap, sebab saya ada mengetahui persidangan ini dalam salah satu profile kenalan FB saya). Apa yang menarik minat saya, salah seorang pembentang seminar merupakan pelukis GD itu sendiri, iaitu Dwinita Larasati atau dikenali sebagai Tita Larasati dari Indonesia. Beliau sendiri pernah menghasilkan karya GD di negaranya, dan salah satu karyanya ialah Curhat Tita.

Tita Larasati (cute...ada macam iras saya tak? Hehehe)

Graphic Diary sebenarnya tidak banyak berbeza dengan diari / catatan kehidupan seharian kita yang selalunya kita sembunyi di dalam laci, siap dipasang dengan mangga seketul itu, cuma ia berbentuk gambar yang dilakar, hasil daripada cantuman garisan-garisan yang dibentuk. Lakaran itu sebenarnya menggambarkan segala luahan rasa, fikiran dan peristiwa penting yang berlaku pada satu-satu hari itu, seperti menurut Larasati;

"The embryo of Indonesian “graphic diary” – pictorial depictions of daily life, worries and wishes, just like in a personal diary..." 

Dalam kata lain, ia juga sama seperti novel genre PELIT (Personal Literature) yang mula mendapat tempat dalam kalangan pembaca novel di negara ini sebenarnya. Genre novel PELIT juga ada saya bincangkan di sini, juga pada tahun lepas.

GD atau Curhat (akronim dalam bahasa Indonesia; Curahan Hati) sebenarnya sudah lama mendapat tempat di negara-negara lain, umpamanya Belanda, Scotland, Perancis, Iran, dan AS, tetapi agak baru di Indonesia, manakala di Malaysia, saya masih belum nampak sebarang karya berbentuk GD yang diterbitkan. Sekiranya ada, mungkin ia tidak dikategorikan, atau dalam kata lain, agak samar-samar. Mungkin juga ia hanya diterbitkan dalam saiz yang kecil, iaitu selingan dalam satu ruangan dalam majalah.

Jika dilihat pada GD karya Larasati, stail atau strok lukisannya agak 'cincai', atau 'simple', tetapi comel. Masih boleh nampak 'form' dan 'detail' pada setiap lakarannya, walaupun agak diserabuti dengan garisan-garisan ala 'sketch' atau contengan. Bagi beliau, itulah prinsip utamanya dalam menghasilkan GD, iaitu stail yang 'simple' tetapi isi dan mesejnya padat. Dari segi struktur, tidak diletakkan sebarang panel (kekotak) pada karyanya, sebagaimana komik biasa; malah sebenarnya beliau sendiri tidak bersetuju untuk melabelkan karya curhatnya sebagai komik, tetapi lebih sesuai dinamakan sebagai GD sahaja. Faktor kekangan masa (kerana beliau merupakan pensyarah dalam bidang Rekaan Industri di Institut Teknologi Bandung yang sentiasa sibuk) membuatkan beliau hanya melakar dengan gaya sebegitu. Beliau tidak punya masa untuk memperkemaskan lakarannya. Minat dan bakat beliau dalam melukis sudah lama dipupuk sejak kecil, memandangkan ibu bapanya, masing-masing merupakan arkitek. Sewaktu melanjutkan pelajaran di peringkat kedoktoran di Amsterdam, Belanda, beliau tetap meneruskan hobi merakam segala catatan peribadinya yang bergambar di atas kertas, di samping menyertai pelbagai bengkel, seminar dan pameran komik di sana untuk meluaskan pengetahuan dalam bidang seni lukis komik yang diminatinya.

Pada peringkat awal, Larasati menconteng segala yang terbuku di hati dan fikirannya dalam bentuk 'contengan' yang hanya dia sahaja mengetahui rupa bentuknya. Namun, lama kelamaan, strok lukisannya diperkemaskan sedikit demi sedikit, apabila ada yang menyukai contengan yang dihasilkannya itu.


Salah satu karya beliau - 'Kid Stuff' ; kisah hidup Larasati dan dua orang anaknya.

Ibu kepada dua orang anak itu sebenarnya tidak menyangka bahawa akhirnya dia berpeluang untuk menerbitkan segala jurnal peribadinya yang bergambar itu dengan dijadikan sebagai Graphic Diary, sedangkan sebelum ini dia hanya 'menconteng-conteng' segala isi hatinya sebagai 'suka-suka' sahaja. Larasati kemudiannya mencipta nama dengan karya pertamanya, Curhat Tita (2008), yang mana beliau merupakan peneraju kepada genre komik ini di Indonesia. Setelah karya pertama mendapat sambutan, beliau terus menghasilkan GD yang lain, seperti Transition (2008), dan Curhat Tita Back To Bandung (2009), serta terbaru, Kid Stuff (gambar di atas). Karya-karya beliau diterbitkan oleh Penerbit Curhat Anak Bangsa yang muncul buat pertama kalinya pada tahun 2008, seiring dengan penerbitan karya pertama GD Larasati.



Lakaran mengenai cara-cara membuat sate (Tita Larasati)



Salah satu lakaran kertas kerja untuk seminar Women’s Manga Beyond Japan: Contemporary Comics as Cultural Crossroads in Asia (dipetik dari laman Facebook Tita Larasati)

Walaupun diadaptasi daripada kisah benar beliau sendiri (bagi Larasati; kisah yang agak remeh-temeh), namun ia diadun dalam bentuk yang lucu. Ia dapat dilihat pada ekspresi wajah watak-watak yang ditonjolkan dalam setiap karyanya. Kejayaan Larasati dalam karya GD atau Curhat beliau akhirnya mendorong beberapa pelukis lain untuk turut menghasilkan karya mereka, seperti Sheila Rooswita dan Adiputra. 


Sedang gigih menconteng jurnal peribadinya


Agak menarik sebenarnya untuk membicarakan genre komik ini, kerana GD sebenarnya hanyalah sebuah diari kehidupan biasa, tetapi dipersembahkan dalam bentuk yang kreatif. Tidak mustahil, suatu masa nanti, karya genre GD juga akan muncul di rak-rak kedai buku di Malaysia, sebagaimana lambakan Graphic Novel yang giat diusahakan oleh syarikat penerbitan seperti yang saya sebutkan pada awal entri ini. 

Ada sesiapa yang mahu memulakan langkah untuk menghasilkan GD selepas ini? ;D

Oh ya, sebelum itu...

Agaknya inilah yang dikatakan suratan takdir. Sebenarnya baru-baru ini saya ada menghasilkan komik pendek, dan ya, saya mula menyedari bahawa ia sebenarnya adalah GD atau Curhat seperti karya Larasati!...cuma ia belum diterbitkan dalam bentuk buku. Namun, saya telah upload karya GD saya yang berjudul 'Diari Seorang Aku' dalam laman Facebook saya, serta mendapat beberapa respon positif daripada sebahagian besar rakan-rakan saya. Jazakallahu Khairan (semoga Allah memberkati) buat mereka yang memberikan komen. 

Dengan itu sebelum mengakhiri entri dunia komik kali ini, terimalah karya Graphic Diary saya...
'Diari Seorang Aku'...
**(dipersilakan untuk memberi komen, kritikan, dan cadangan setelah membacanya)

Judul: Diari Seorang Aku (My Diary)
Karya oleh: Rini Safiyyah
Tarikh penghasilan karya: 3 Mac - 7 Mac 2011

 

2011, Rini Safiyyah. Hakcipta Terpelihara. 


p/s: Saya masih ingat, pensyarah saya pernah berkata, hobi melukis sebenarnya 'awet muda' - wajah orang yang gemar melukis  sentiasa kelihatan muda. Betul ke? Hehehe....(perasan)




Rujukan lanjut mengenai karya-karya GD Tita Larasati:

http://esduren.multiply.com/    (Blog peribadi beliau)

http://bukucurhat.net/  (Laman web rasmi Syarikat Penerbitan Curhat Anak Bangsa-CAB)

Abstrak kertas persidangan So How Was Your Day? The Emergence of Graphic Diary and Female Artists in Indonesia dalam seminar Women’s Manga Beyond Japan: Contemporary Comics as Cultural Crossroads in Asia, Singapura, 2010.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ada Apa Dengan Pengajian Melayu?

KRABI 2018: Itinerari dan Bajet (4H 3M)

Kisah Klasik Untuk Masa Depan (Edisi Raya): Nostalgia Kad Raya