Ceritera Aku dan Komik


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sudah lama tidak mencoretkan rasa hati di blog ini. Rasa hati ini terpendam sekian lama, namun tatkala membaca novel Komika: Ada Apa Dengan Komik? karya Nazry Salam, ia mengingatkanku kepada kecintaanku selama ini. Kecintaanku terhadap melukis komik. Terdetik di hati untuk meluahkan rasa hati, bercerita tentang kisah cintaku dengan komik, dari awal hingga kini.


Novel remaja kedua karya Nazry Salam (penulis komik bestseller Misi 8A)

*Ceriteraku ini sangat panjang dan digalakkan untuk membaca cerita ini apabila mempunyai masa yang lapang.

Aku mengenali komik sebelum menjejakkan kaki ke alam tadika. Waktu itu, aku begitu gemar membaca komik Doraemon yang sering dibeli oleh sepupuku. Komik Doraemon yang telah diterjemah ke dalam bahasa Melayu itu begitu menarik hatiku, disebabkan ilustrasinya yang cantik dan halus serta jalan ceritanya yang menarik dan melucukan. Seringkali aku meminjam komik Doraemon daripada sepupu setiap kali aku melawat ke rumah arwah atuk dan nenekku di Seksyen 17, Petaling Jaya, Selangor. Selain Doraemon, aku juga gemar membaca majalah Gila-Gila yang dibeli oleh ayah setiap bulan. Dalam majalah Gila-Gila, aku sangat meminati komik Tiga Dara Pingitan karya Cabai. 




Komik Doraemon oleh Fujio F. Fujiko. Komik 'evergreen' - sampai sekarang aku masih minat komik ini.
Tiga Dara Pingitan karya Cabai @ Sabariah Jais. Sampai sekarang  tak kahwin lagi agaknya tiga serangkai ini.


Pada masa yang sama, hobiku ketika itu ialah melukis. Apabila bosan, aku akan capai pensel atau krayon
dan kertas, lalu mulalah melukis (jujur, lebih kepada menconteng!). Lukisan aku yang ‘famous’ ketika itu ialah gambar seorang kanak-kanak perempuan yang berambut bulat, badan kurus seperti lidi, memakai baju skirt dan hanya mendepakan tangannya 24 jam. Latar belakang lukisan itu pula hanya dilatari gambar matahari yang keluar dari balik bukit, ropol-ropol awan dan burung-burung berterbangan yang dilakar begitu mudah – hanya membuat bentuk ‘V’. Mudah, bukan? Karya lukisan seorang Ruzaini berumur enam tahun. Tiada variasi yang dilakukan. Setiap hari hanya melukis benda yang sama. Sesekali ditambah seorang lagi watak perempuan ataupun gambar kucing yang tidak serupa kucing. Aku belajar melukis daripada kakak yang juga suka melukis gambar tersebut, tetapi jauh lebih cantik dan kemas daripada lukisanku.

Sungguhpun aku gemar melukis, namun aku tidak pandai menulis. Aku hanya tahu memegang pensel sahaja. Mak selalu cerita, sewaktu tadika, aku hanya membatukan diri apabila disuruh menulis huruf dan angka. Tanganku hanya memegang batang pensel itu dengan kaku, tidak bergerak-gerak. Dengan susah payah, mak mengajarku bagaimana hendak menulis. 

Apabila menginjakkan kaki ke alam persekolahan, aku mula mempelajari melukis watak daripada komik-komik yang telah kubaca. Aku cuba melukis watak Doraemon, Nobita, Sizuka... tetapi aku lebih kerap melukis watak Sizuka yang comel itu. Aku belajar melukis setiap hari dengan menggunakan kertas kosong, buku latihan sekolah (yang tidak digunakan; aku selalu melabelkan buku tersebut sebagai “buku conteng”) hinggalah kulit belakang buku teks sekolah dan buku kerja! Aku masih ingat betapa mak begitu memarahiku kerana terlalu obses melukis sehingga menconteng kulit buku teks sekolah. Ayah pula, seolah-olah memahami minatku, sering ‘sedekahkan’ kertas-kertas kosong yang tidak digunakan dari pejabatnya kepadaku. Aku masih ingat, betapa gembiranya hatiku apabila ayah mengeluarkan berhelai-helai kertas putih dari briefcase kepunyaannya lalu diserahkan kepadaku. Masih kuingat juga, betapa hampa dan bosannya aku apabila ada ketikanya ayah lupa membawa pulang kertas kosong untuk diberikan kepadaku. Lazimnya, aku akan melukis setelah selesai menyiapkan kerja sekolah. Hal ini kerana ayahku seorang yang tegas dan beliau sentiasa memastikan kerja sekolahku telah disiapkan sebelum bermain atau melukis.

Selain aku, mak juga memiliki bakat dalam seni lukis. Mungkin minatku itu mengalir dari mak. Mak sendiri juga ada memberitahu, bahawa arwah atuk juga pandai melukis. Sewaktu mak masih kecil, apabila mak menangis, arwah atuk akan memujuk dengan melukis gambar burung. Namun, mak tidak berani melukis figura manusia sebagaimana aku, tetapi mak lebih kepada gaya ‘still life’...lukis gambar bunga, buah-buahan, haiwan. Kalau bab mewarna, jangan katalah...selalunya aku akan meminta mak mewarnakan gambar atau menyiapkan projek Pendidikan Seni. Keesokan harinya di sekolah, aku mendapat pujian berbakul-bakul, padahal orang lain punya usaha itu. Lembu punya hasil, sapi dapat nama. Haha!

Sampai sekarang, mak merupakan guruku dalam bab melukis dan mewarna. Sampai sekarang juga aku masih dikritik oleh mak, kerana aku tersalah melukis gambar buah ciku! Jangan pandang mak aku sebelah mata, walaupun beliau tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi, namun mak begitu mahir mengenal pasti teknik lakaran dan jenis stroke. Begitu juga peralatan yang lazim digunakan apabila melakar dan melukis. Uh, malunya aku!

Padanlah lukisan mak selalu menjadi pilihan guru Pendidikan Seni di sekolahnya! J

Di sekolah, aku seorang yang pendiam, pemalu dan gemar memencilkan diri. Itulah yang pernah tercatat dalam buku laporan kemajuan di tadika dan sekolah. Atas tiga sikap utamaku itulah menyebabkan aku sendiri tidak mempunyai ramai kawan. Aku juga sangat meminati subjek Pendidikan Seni dan sangat benci subjek Matematik. Hal ini kerana aku sering mendapat gred A dalam subjek Pendidikan Seni dan mendapat gred E (gagal) dalam Matematik. Seumur hidupku, aku tidak pernah gagal dalam Pendidikan Seni dan tidak pernah mendapat gred A dalam Matematik. Haha!

Setiap kali berkelapangan, iaitu ketika cikgu sekolah lambat masuk ke kelas atau tidak mengajar, apa lagi...aku hanya tenggelam dalam dunia melukis kartun! Aku di sekolah juga bukanlah calon pelajar cemerlang, baik dari segi akademik mahupun ko-kurikulum. Apabila peperiksaan, kedudukan nombor pencapaian dalam kelas yang kuperoleh sangat ‘cemerlang’...nombor ‘satu’ dari belakang! Tetapi aku tidak berasa apa-apa pula apabila memperoleh nombor corot itu. Mungkin, ketika itu aku belum memikirkan dengan serius hala tuju masa depanku, walaupun dalam buku laporan kemajuan, tercatat cita-citaku untuk menjadi guru atau polis wanita.

Walaupun, aku memang tidak popular di sekolah kerana pencapaian yang dimiliki, tetapi jujur aku katakan, lukisan-lukisanku yang tidak seberapa itulah yang lebih popular berbanding si pelukisnya. Sejak dulu, rakan-rakan sekelas sering saja memintaku melukis gambar kartun untuk mereka dan aku jarang menolak. Pernah juga aku mendapat permintaan yang bertalu-talu dan ada yang berebut-rebut giliran, sampai aku naik pening untuk menentukan lukisan siapa yang perlu disiapkan terlebih dahulu! Sungguhpun begitu, aku tidak pernah mengenakan sebarang bayaran atas setiap lukisan yang dihasilkan. Senyuman dan kegembiraan yang terpancar pada wajah rakan-rakan merangkap pelanggan tetapku itulah merupakan ‘bayaran’ untukku. Aku gembira apabila lukisanku yang tidak seberapa itu menggembirakan hati mereka. Selain menjadi pelukis komik tak bertauliah di sekolah, aku juga sering ditugaskan oleh guru untuk membuat rekaan (design) jadual bertugas, jadual waktu dan menghias papan hitam untuk jamuan kelas.

Memasuki umur 10 tahun, oleh sebab terpengaruh dengan majalah Gila-Gila dan Ujang yang popular ketika itu (tahun 1996), aku tidak hanya sekadar gemar melukis figura manusia, tetapi mencuba melukis komik lerang (comic strip), walaupun jalan ceritanya tunggang-langgang, tidak logik dan tidak kelakar! Kalau ada rakan-rakan yang ketawa membacanya, itu mungkin bukanlah merasakan ceritanya lucu, tetapi sekadar mengambil hatiku. Sebab aku sendiri pun merasa ia tidak lucu dan aku hanya sekadar cuba melukis komik kerana ikut trend. Malah, aku juga mencipta majalah komik sendiri, dengan menampilkan pelbagai komik-komik pendek, ruangan surat-menyurat, buletin dan info-info, yang sebenarnya....tidak masuk akal kerana hanya aku yang menjadi ‘one-man-show’nya! Namun, dua tahun kemudian, apabila memasuki Darjah 6, aku mula melukis komik panjang (novel grafik) yang menampilkan tema dan cerita yang ‘happening’ dan watak-wataknya terdiri daripada watak sebenar di alam realiti, iaitu aku dan beberapa orang teman sekelasku! Malah, teman sekelasku juga bukan sahaja gemar dan menyokong hobiku yang satu ini, tetapi juga sudi menyumbangkan idea cerita dan adegan yang melucukan kepadaku.
Ramai juga yang bertanyakan kepadaku, sekiranya hendak mencuba nasib untuk menghantar komik kepada syarikat penerbitan komik untuk diterbitkan. Namun, waktu itu aku tidak pernah terfikirkan hal itu. Aku tidak pernah berhasrat untuk mengkomersialkan lukisanku. Aku hanya menganggap melukis komik merupakan kegiatanku pada waktu senggang. Sudahnya, pertanyaan tersebut aku membiarkan ia berlalu pergi ditiup angin...

Gaya lukisanku ketika itu lebih menyerupai manga atau komik Jepun, kerana waktu itu aku sangat menggemari komik Sailormoon. Aku sendiri benar-benar terikut dengan gaya komik Sailormoon, dan daripada komik tersebutlah aku belajar melukis watak, variasi gaya rambut, fesyen dan ekspresi muka. Watak-watak gadis yang kulukis juga mempunyai mata yang besar seperti anak patung, berambut panjang, berbadan ramping dan berkaki panjang. Dalam masa yang sama, aku juga membaca komik Shin Chan dan sering mengadaptasi kelucuannya yang slapstik itu ke dalam komik lerang dan novel grafik ciptaanku. Sehingga sekarang, aku masih kekal dengan gaya manga Sailormoon.


Sailormoon karya Naoko Takeuchi

Sehinggalah melangkah ke sekolah menengah, kecintaanku terhadap komik tidak pernah surut, malah terus mekar dari hari ke hari. Teknologi yang agak terhad ketika itu menjadikan aku begitu produktif. Melukis merupakan ‘retreat’ aku setelah menghadapi tekanan menyiapkan kerja sekolah dan mengulangkaji pelajaran. 


Dari tahun ke tahun, gaya lukisanku semakin baik dan aku mula menghasilkan komik bertemakan cerita yang serius – tema yang sering kutampilkan ialah kisah cinta remaja. Wow! Adakah aku pernah bercinta sebelum ini? Jawapannya, TIDAK. Aku sendiri tidak pernah bercinta, cuma mampu memendam rasa dalam diam. Namun, bagaimana aku terfikir untuk menghasilkan komik cinta? Sebenarnya, idea tersebut kuperoleh dengan membaca novel cinta, komik cinta karya orang lain dan drama serta filem di televisyen. Itu sajalah. Kemudian aku adunkannya mengikut idea dan kreativiti sendiri. Ternyata, setiap komik yang dihasilkan mendapat respon positif daripada rakan-rakan. Cuma, aku sendiri memiliki tabiat burukku yang sukar dikikis, iaitu “hangat-hangat tahi ayam”. Aku hanya bersemangat untuk menghasilkan komik pada awalnya, namun sampai ke pertengahan jalan, aku mengalah. Jadilah komik tersebut ‘terbengkalai’ dan  disimpan di dalam rak buku sampai berdebu...dan idea baru tetap keluar menderu-deru, dan begitulah seterusnya...banyak juga judul komikku yang masih terbengkalai pembikinannya hingga kini.

Sewaktu Tingkatan Empat, walaupun mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan PMR, tetapi aku nekad memilih kelas dalam aliran Sastera, pengkhususan Seni. Aku berada di dalam kelas Tingkatan 4 Kreatif. Mahu tahu di mana kedudukan kelas ini? Kedua dari belakang! Tetapi apa aku peduli? Kecintaanku terhadap seni mengatasi persepsi berada di kelas ‘corot’!

Ketika itu, aku benar-benar serius melukis novel grafik / komik panjang, dan akhirnya aku berjaya merealisasikannya. Aku berjaya menyiapkan sebuah komik panjang yang memerlukan tiga buah buku latihan sekolah untuk dilukis, dan pembikinannya memakan masa selama tujuh bulan. Lazimnya, aku tidak merangka terlebih dahulu cerita yang ingin dibuat, sebaliknya capai pensel dan terus lukis. Panel (kekotak) komik juga tidak sekata dan bentuknya lebih ringkas, sekadar memuatkan komposisi. Penentuan dialog dan naratif dilakukan sebaik sahaja menyiapkan lakaran komposisi. Aku tahu, gaya ini tidak menjanjikan hasil idea cerita yang terbaik sebagaimana pelukis komik profesional di luar sana, namun inilah gayaku sebenarnya.

Ketika aku tingkatan Empat itulah (tahun 2002), aku mula mencipta watak yang signifikan, iaitu ‘De Prefect 02’; watak sekumpulan pengawas sekolah dan kisah mereka di luar tugas mereka. Ada watak gadis ‘tomboy’, gadis ayu bertudung lagi pemalu, gadis yang suka bergaya, suka buat lawak, bajet ‘macho’ dan macam-macam lagi. Sampai sekarang, aku masih sayangkan watak ciptaanku ini. Paling menarik, bagai ditakdirkan, aku akhirnya menjadi pengawas sekolah tiga tahun kemudian, iaitu sewaktu aku berada di tingkatan Enam Atas. 


Lakaran watak ciptaanku; De' Prefect 02 (2004)



Watak De' Prefect Friends Forever (dilakar semula pada tahun 2010)


Walaupun melukis komik merupakan sebahagian daripada identitiku, namun pelajaran tetap aku tidak abaikan. Aku akan berhenti melukis apabila menjelang musim peperiksaan. Aku akui, apabila aku melangkahkan kaki ke alam sekolah menengah, barulah aku sibuk memikirkan hala tuju masa depanku. Aku menyimpan cita-cita untuk menjadi pelukis komik atau pereka grafik yang berjaya. Aku juga menyimpan cita-cita untuk menjejakkan kaki ke universiti apabila menamatkan alam persekolahan. Buktinya, aku ada menghantar permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka selepas memperoleh keputusan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Aku dipanggil untuk menghadiri sesi temuduga, namun rezeki tidak menyebelahiku. Sudah membuat rayuan kali kedua, namaku tetap tidak terpilih. Cita-citaku untuk menjadi mahasiswi tidak kesampaian ketika itu. Sejak itu aku sering menangis, seolah-olah baru mengalami putus cinta.

Atas saranan keluarga, aku meneruskan pengajian ke tingkatan Enam, suatu misi yang tak pernah aku rancangkan sebelum itu. Sewaktu mendaftar, hampa rasanya apabila mendapat tahu subjek Pendidikan Seni Visual tidak ditawarkan di sekolahku. Aku memilih pengkhususan yang langsung tiada kaitan dengan minatku selama ini; Pengajian Perniagaan dan Ekonomi. 

Walaupun begitu sibuk dengan pengajian, tetapi apabila tiba cuti sekolah, aku tetap meneruskan hobiku ini. Pernah juga, aku siapkan satu komik panjang dalam masa tiga hari sahaja – itupun setelah dalam masa tiga hari itu aku tidak melakukan perkara lain, melainkan makan, mandi, tidur dan solat. Komik itu dihasilkan pada Disember 2004, dan aku masih ingat, pada waktu komik itu siap sepenuhnya, dunia dihebohkan dengan tragedi Tsunami yang melanda Acheh, utara Semenanjung Malaysia dan pulau-pulau sekitar Phuket dan Krabi, Selatan Thailand.

Seingatku, aku tidak lagi aktif melukis apabila menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Kesibukan dengan kuliah, tutorial dan aktiviti kolej dan universiti menyebabkan aku hampir melupakan kecintaanku. Namun, cinta itu berputik kembali apabila aku memilih Kesenian Melayu sebagai bidang pengkhususanku sewaktu memasuki tahun dua pengajian. Aku berpeluang mengasah bakat dan minatku semula melalui kursus-kursus yang ditawarkan dalam Kesenian Melayu. Sungguhpun begitu, aku tetap tidak berpeluang menghasilkan komik panjang / novel grafik seperti sewaktu di bangku sekolah dulu.

Masa terus berlalu, dan setelah menamatkan pengajian di peringkat ijazah pertama pada tahun 2009, setahun kemudian aku kembali ke kampus UM bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana (master). Sejak mendaftarkan diri, aku nekad untuk memilih bidang Kesenian Melayu bagi penyelidikanku, namun ketika itu, aku puas mencari isu yang berkaitan dengan bidang tersebut untuk dikaji. Aku meneliti tesis demi tesis, buku demi buku dan bertanyakan kepada senior bidang-bidang yang berpotensi. Namun, aku tidak menemukan jawapannya, hinggalah aku bertemu dengan Dr. Nor Azlin Hamidon, salah seorang pensyarah Kesenian Melayu di Akademi Pengajian Melayu yang kini menjadi penyeliaku. Beliau sendiri yang mencadangkan kepadaku supaya mengkaji seni lukis kartun atau komik Melayu. Eh, bukankah bidang itu berkait rapat dengan kecintaanku selama ini? Jujur, selama ini aku tidak pernah terfikir untuk memilih kecintaanku hinggalah aku bertemu dengan penyeliaku. Akhirnya, aku menerima cadangan beliau dan nekad untuk mengkaji seni lukis komik Melayu. Kajianku berfokus kepada perbandingan gaya dan tema mengikut era, iaitu 1980-an dan milenium (2000). Proposal penyelidikan telah kurangka dan dibentangkan pada Disember 2011. Alhamdulillah, panel penilai bersetuju dengan proposalku dan kini masih dalam proses menyiapkan tesis. Tinggal lagi aku perlu menghadapi candidature defence (ohh...berdebarnya aku!) dan pembentangan hasil akhir.

Begitu juga, sewaktu aku membentangkan makalah mengenai seni lukis komik Melayu ketika seminar internasional sempena program Delegasi APM-UNHAS di Universitas Hasanuddin (UNHAS), Makassar, Indonesia pada Jun tahun lalu, Alhamdulillah, aku mendapat maklum balas yang positif. Kajianku dilihat menarik dan perlu diteruskan. Di situ, aku dapat melihat keterbukaan dari segi persepsi dan pemikiran dalam kalangan ahli akademik di universiti itu. Di Makassar juga aku mengenali seorang sahabat serumpun yang mempunyai minat dan bakat yang sama denganku, meskipun dia mengambil bidang yang berlainan di universiti.




Meskipun begitu, sepanjang tempoh penyelidikanku, ada sahaja dugaan yang menimpa diriku. Bukan sahaja aku terpaksa berhadapan dengan masalah kewangan, masalah peribadi malah terhadap bidang kecintaanku ini. Buat masa ini, persepsi negatif masyarakat terhadap komik masih belum dapat dikikis sepenuhnya, sungguhpun terdapat syarikat penerbitan yang berusaha menerbitkan komik yang mematuhi nilai moral dan syariah Islam serta menggunakan bahasa Melayu tinggi. Aku fikir, bukan hanya pelukis komik yang terpaksa berhadapan dengan situasi ini, tetapi juga diriku, sebagai penyelidik. Hal ini kerana, aku sering dipandang sinis, malah pernah diketawakan apabila mendapat tahu bahawa aku memilih komik sebagai bahan kajian.

Baru-baru ini, salah seorang hamba Allah yang kutemui dalam sebuah majlis seolah-olah beranggapan bahawa komik agak kurang relevan untuk dikaji. Dia seolah-olah tidak nampak apa kepentingan komik itu dan boleh pula, dia cuba melakukan provokasi dengan menggesa aku supaya memilih bidang lain yang jauh lebih signifikan berbanding komik itu! Lagi gila (maaf, terkasar bahasa di sini), dia menyuruh aku mengambil semula bidang sarjana dan memilih bidang lain selain komik! Kelu lidahku ketika itu...malah aku rasa ketika itu, aku seolah-olah menjadi kerdil...kerdil di matanya! Dia tidak tahu, betapa susah payahnya aku perlu hadapi segala rintangan dari awal hingga kini...? Mudahnya menyuruh aku mendaftar sarjana sebanyak dua kali? Tidak pernah dibuat oranglah! Kalau dia sendiri, bagaimana?

Aku menangis dan mengadu kepada mak berkenaan sikap prejudis segelintir orang terhadap bidang kajianku. Seperti biasa, mak salah seorang tulang belakang dalam perjuanganku. Mak memberikanku sokongan padu dalam perjuanganku kali ini. Mak kata, jadikanlah sikap prejudis mereka sebagai cabaran untukku berjaya kali ini. Mak suruh aku buktikan kepada mereka dengan menyiapkan tesis dan jadikan hasil penyelidikan yang dibuat menjadi bentuk buku dan diterbitkan supaya dapat ditunjukkan kepada segelintir yang masih memandang negatif terhadap komik.

Mungkin kalian akan persoalkan, apa pentingnya komik ini untuk dijadikan kajian? Padahal komik itu tidak lebih dari sekadar bahan bacaan ringan, picisan dan hanya dijadikan sebagai bahan escapisme dan hiburan semata-mata. Baiklah, di sini aku mahu nyatakan apa niat atau hasrat sebenarnya aku melakukan penyelidikan ini...

...Aku tahu, masyarakat umum, di luar bidang seni pasti akan bertanya;

Apakah sumbangan atau manfaat yang akan diperoleh setelah menjalankan penyelidikan ini?

Komik? Apa signifikannya kepada masyarakat di negara ini?

...Ya, aku sedar betapa hasil penyelidikanku ini hanyalah satu sumbangan yang kecil...

Penyelidikanku tidaklah begitu gah sebagaimana bidang teknikal yang lain...

Apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan kajian bahasa, sosiobudaya, sastera...

Tetapi, di sebalik penyelidikan ini, tersimpannya beberapa misi dan impian...

Apabila berpatah balik ke belakang, aku pernah gagal menjejakkan kaki ke UiTM dan memilih bidang yang kuminati (seni lukis) selepas menduduki peperiksaan SPM...

Namun, Alhamdulillah...setelah lama meniti perjalanan yang berliku, akhirnya 8 tahun kemudian, aku dan komik kembali menyatu...ternyata jodoh kami begitu panjang!

Mungkin, aku tidak berpeluang menghasilkan adikarya (masterpiece) atau menjadi pelukis komik popular tanah air yang bergelar jutawan hasil royalti...
Namun, mungkin aku boleh menjadi seorang penyelidik dalam bidang seni lukis komik ini!

Mungkin suatu masa kelak, insya Allah aku akan menjadi salah seorang daripada ahli sarjana dalam bidang seni lukis komik, sebagaimana Prof Dr. Muliyadi Mahamood dari UiTM yang menjadi cendekiawan dalam bidang seni lukis kartun!

Dan...aku sendiri menyimpan impian, untuk berada dalam sebuah institusi pengajian, atau sekurang-kurangnya sebuah jabatan atau fakulti yang mengkhususkan kepada kajian komik dan kartun....institusi tersebut tidak mengkhususkan kepada pengajaran kursus bagaimana menghasilkan komik / kartun, tetapi juga menjalankan penyelidikan terhadap bidang komik itu tersendiri, meliputi pelbagai disiplin ilmu. 

Misi terbesarku, aku mahu bidang seni lukis komik bersemarak dan maju di Malaysia, sebagaimana di Amerika dan Jepun. Aku menyedari, betapa ramai di luar sana, terutama dari kalangan generasi muda memiliki bakat dalam melukis komik dan kartun, tidak kira apa gaya yang mereka gunakan. Sayang sekali jika tidak mengembangkan bakat mereka dan bimbing mereka untuk hasilkan komik atau kartun yang dapat memberi teladan dan menonjolkan budaya dan jati diri Malaysia dan nusantara.

Oh ya, aku masih ingat hamba Allah yang kutemui dulu memperlekehkan bidang seni lukis komik. Alasannya, sekarang sudah memasuki dunia akhir zaman, dan ada banyak lagi masalah umat yang boleh dikaji. Dalam kata lain, komik tidak relevan untuk dikaji pada akhir zaman ini.

Siapa kata?

Jangan sempitkan minda, kawan. 

Komik itu sendiri sebenarnya mampu mempengaruhi pembacanya. Tinggal lagi kitalah yang menentukan sama ada komik itu mampu memberi pengaruh positif, mahupun negatif. Seperti pisau, ia memberi manfaat kalau ia digunakan untuk memotong ikan atau sayur, tetapi ia membawa mudarat kalau digunakan untuk membunuh nyawa tidak berdosa.Kalau sesuatu komik itu mengetengahkan kisah bertemakan motivasi, iaitu usaha untuk mencapai kejayaan, insya Allah pembaca komik tersebut pasti terdorong untuk melakukan perkara yang sama. Paling penting di sini, kita sendiri yang perlu menggunakan akal fikiran kita yang waras untuk menentukan baik buruknya komik tersebut. 

Sudah tiba masanya pelukis komik pada hari ini perlu menitik beratkan penerapan nilai positif dalam komik, dari segi lakaran visual mahupun tema cerita, agar prasangka buruk terhadap komik yang dilemparkan oleh masyarakat akan dapat dikikis. 

Dalam usaha mendekati anak muda masa kini yang majoritinya dalam keadaan terumbang-ambing, yang berhadapan dengan kecelaruan identiti dan jati diri, inilah masanya bagi pelukis-pelukis komik di Malaysia, khususnya yang beragama Islam menjadikan komik sebagai salah satu medium untuk berdakwah! Hasilkan komik yang menyeru kebaikan, mencegah kemungkaran. Dakwah tidak semestinya melalui ceramah sahaja. Kalau Ustaz Azhar Idrus boleh berdakwah melalui laman web YouTube sehingga mendapat jolokan ‘Ustaz Youtube’, dan Ustaz Don Daniyal dengan rancangan 30 minitnya di TV Alhijrah, maka biarlah selepas ini akan adanya Ustaz Komik pula? Serius, aku begitu menyokong mana-mana usaha untuk mewujudkan komik Islami di Malaysia.

Begitulah, kisahku dengan komik. Sebuah kisah yang panjang, dan mungkin belum berkesudahan. Pengakhiran yang manis? Ya, sudah tentu! Itulah yang aku harapkan. Doakan aku.

RUZAINI AHMAD @ ISHAK (RINI S.)

02.05.2012 (11.15 p.m)
KK12, UM, Kuala Lumpur.

Ulasan

  1. Terima kasih kerana sudi membeli dan membaca novel Komika! :)

    Teruskan berusaha, ya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sama-sama tuan Feeqry! ^______^

      Tahniah, novel Komika memang terbaik! Ia memberi inspirasi kepada saya untuk terus menjalankan penyelidikan dalam bidang komik hingga ke peringkat Ph.D, insya Allah. ^_^

      Terima kasih juga kerana sudi meluangkan masa melawat blog saya yang tidak seberapa ini. Hehe. ;D

      Padam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ada Apa Dengan Pengajian Melayu?

KRABI 2018: Itinerari dan Bajet (4H 3M)

Kisah Klasik Untuk Masa Depan (Edisi Raya): Nostalgia Kad Raya