Tiga Dara Pingitan karya Cabai @ Sabariah Jais. Sampai sekarang tak kahwin lagi agaknya tiga serangkai ini.
Pada masa yang
sama, hobiku ketika itu ialah melukis. Apabila bosan, aku akan capai pensel
atau krayon
dan kertas, lalu mulalah melukis (jujur, lebih kepada menconteng!).
Lukisan aku yang ‘famous’ ketika itu ialah gambar seorang kanak-kanak perempuan
yang berambut bulat, badan kurus seperti lidi, memakai baju skirt dan hanya
mendepakan tangannya 24 jam. Latar belakang lukisan itu pula hanya dilatari
gambar matahari yang keluar dari balik bukit, ropol-ropol awan dan
burung-burung berterbangan yang dilakar begitu mudah – hanya membuat bentuk
‘V’. Mudah, bukan? Karya lukisan seorang Ruzaini berumur enam tahun. Tiada
variasi yang dilakukan. Setiap hari hanya melukis benda yang sama. Sesekali
ditambah seorang lagi watak perempuan ataupun gambar kucing yang tidak serupa
kucing. Aku belajar melukis daripada kakak yang juga suka melukis gambar
tersebut, tetapi jauh lebih cantik dan kemas daripada lukisanku.
Sungguhpun aku
gemar melukis, namun aku tidak pandai menulis. Aku hanya tahu memegang pensel
sahaja. Mak selalu cerita, sewaktu tadika, aku hanya membatukan diri apabila
disuruh menulis huruf dan angka. Tanganku hanya memegang batang pensel itu
dengan kaku, tidak bergerak-gerak. Dengan susah payah, mak mengajarku bagaimana
hendak menulis.
Apabila
menginjakkan kaki ke alam persekolahan, aku mula mempelajari melukis watak
daripada komik-komik yang telah kubaca. Aku cuba melukis watak Doraemon,
Nobita, Sizuka... tetapi aku lebih kerap melukis watak Sizuka yang comel itu. Aku
belajar melukis setiap hari dengan menggunakan kertas kosong, buku latihan
sekolah (yang tidak digunakan; aku selalu melabelkan buku tersebut sebagai
“buku conteng”) hinggalah kulit belakang buku teks sekolah dan buku kerja! Aku
masih ingat betapa mak begitu memarahiku kerana terlalu obses melukis sehingga
menconteng kulit buku teks sekolah. Ayah pula, seolah-olah memahami minatku,
sering ‘sedekahkan’ kertas-kertas kosong yang tidak digunakan dari pejabatnya
kepadaku. Aku masih ingat, betapa gembiranya hatiku apabila ayah mengeluarkan
berhelai-helai kertas putih dari briefcase
kepunyaannya lalu diserahkan kepadaku. Masih kuingat juga, betapa hampa dan
bosannya aku apabila ada ketikanya ayah lupa membawa pulang kertas kosong untuk
diberikan kepadaku. Lazimnya, aku akan melukis setelah selesai menyiapkan kerja
sekolah. Hal ini kerana ayahku seorang yang tegas dan beliau sentiasa
memastikan kerja sekolahku telah disiapkan sebelum bermain atau melukis.
Selain aku, mak juga memiliki
bakat dalam seni lukis. Mungkin minatku itu mengalir dari mak. Mak sendiri juga
ada memberitahu, bahawa arwah atuk juga pandai melukis. Sewaktu mak masih
kecil, apabila mak menangis, arwah atuk akan memujuk dengan melukis gambar
burung. Namun, mak tidak berani melukis figura manusia sebagaimana aku, tetapi
mak lebih kepada gaya ‘still life’...lukis gambar bunga, buah-buahan, haiwan.
Kalau bab mewarna, jangan katalah...selalunya aku akan meminta mak mewarnakan
gambar atau menyiapkan projek Pendidikan Seni. Keesokan harinya di sekolah, aku
mendapat pujian berbakul-bakul, padahal orang lain punya usaha itu. Lembu punya
hasil, sapi dapat nama. Haha!
Sampai sekarang,
mak merupakan guruku dalam bab melukis dan mewarna. Sampai sekarang juga aku
masih dikritik oleh mak, kerana aku tersalah melukis gambar buah ciku! Jangan
pandang mak aku sebelah mata, walaupun beliau tidak berpeluang melanjutkan
pengajian ke peringkat tertinggi, namun mak begitu mahir mengenal pasti teknik
lakaran dan jenis stroke. Begitu juga peralatan yang lazim digunakan apabila
melakar dan melukis. Uh, malunya aku!
Padanlah lukisan
mak selalu menjadi pilihan guru Pendidikan Seni di sekolahnya! J
Di sekolah, aku
seorang yang pendiam, pemalu dan gemar memencilkan diri. Itulah yang pernah
tercatat dalam buku laporan kemajuan di tadika dan sekolah. Atas tiga sikap
utamaku itulah menyebabkan aku sendiri tidak mempunyai ramai kawan. Aku juga
sangat meminati subjek Pendidikan Seni dan sangat benci subjek Matematik. Hal
ini kerana aku sering mendapat gred A dalam subjek Pendidikan Seni dan mendapat
gred E (gagal) dalam Matematik. Seumur hidupku, aku tidak pernah gagal dalam
Pendidikan Seni dan tidak pernah mendapat gred A dalam Matematik. Haha!
Setiap kali
berkelapangan, iaitu ketika cikgu sekolah lambat masuk ke kelas atau tidak
mengajar, apa lagi...aku hanya tenggelam dalam dunia melukis kartun! Aku di
sekolah juga bukanlah calon pelajar cemerlang, baik dari segi akademik mahupun
ko-kurikulum. Apabila peperiksaan, kedudukan nombor pencapaian dalam kelas yang
kuperoleh sangat ‘cemerlang’...nombor ‘satu’ dari belakang! Tetapi aku tidak
berasa apa-apa pula apabila memperoleh nombor corot itu. Mungkin, ketika itu
aku belum memikirkan dengan serius hala tuju masa depanku, walaupun dalam buku
laporan kemajuan, tercatat cita-citaku untuk menjadi guru atau polis wanita.
Walaupun, aku
memang tidak popular di sekolah kerana pencapaian yang dimiliki, tetapi jujur
aku katakan, lukisan-lukisanku yang tidak seberapa itulah yang lebih popular
berbanding si pelukisnya. Sejak dulu, rakan-rakan sekelas sering saja memintaku
melukis gambar kartun untuk mereka dan aku jarang menolak. Pernah juga aku
mendapat permintaan yang bertalu-talu dan ada yang berebut-rebut giliran,
sampai aku naik pening untuk menentukan lukisan siapa yang perlu disiapkan
terlebih dahulu! Sungguhpun begitu, aku tidak pernah mengenakan sebarang
bayaran atas setiap lukisan yang dihasilkan. Senyuman dan kegembiraan yang
terpancar pada wajah rakan-rakan merangkap pelanggan tetapku itulah merupakan
‘bayaran’ untukku. Aku gembira apabila lukisanku yang tidak seberapa itu
menggembirakan hati mereka. Selain menjadi pelukis komik tak bertauliah di
sekolah, aku juga sering ditugaskan oleh guru untuk membuat rekaan (design)
jadual bertugas, jadual waktu dan menghias papan hitam untuk jamuan kelas.
Memasuki umur 10
tahun, oleh sebab terpengaruh dengan majalah Gila-Gila dan Ujang yang popular
ketika itu (tahun 1996), aku tidak hanya sekadar gemar melukis figura manusia,
tetapi mencuba melukis komik lerang (comic
strip), walaupun jalan ceritanya tunggang-langgang, tidak logik dan tidak
kelakar! Kalau ada rakan-rakan yang ketawa membacanya, itu mungkin bukanlah
merasakan ceritanya lucu, tetapi sekadar mengambil hatiku. Sebab aku sendiri
pun merasa ia tidak lucu dan aku hanya sekadar cuba melukis komik kerana ikut
trend. Malah, aku juga mencipta majalah komik sendiri, dengan menampilkan
pelbagai komik-komik pendek, ruangan surat-menyurat, buletin dan info-info,
yang sebenarnya....tidak masuk akal kerana hanya aku yang menjadi
‘one-man-show’nya! Namun, dua tahun kemudian, apabila memasuki Darjah 6, aku
mula melukis komik panjang (novel grafik) yang menampilkan tema dan cerita yang
‘happening’ dan watak-wataknya terdiri daripada watak sebenar di alam realiti,
iaitu aku dan beberapa orang teman sekelasku! Malah, teman sekelasku juga bukan
sahaja gemar dan menyokong hobiku yang satu ini, tetapi juga sudi menyumbangkan
idea cerita dan adegan yang melucukan kepadaku.
Ramai juga yang
bertanyakan kepadaku, sekiranya hendak mencuba nasib untuk menghantar komik
kepada syarikat penerbitan komik untuk diterbitkan. Namun, waktu itu aku tidak
pernah terfikirkan hal itu. Aku tidak pernah berhasrat untuk mengkomersialkan
lukisanku. Aku hanya menganggap melukis komik merupakan kegiatanku pada waktu
senggang. Sudahnya, pertanyaan tersebut aku membiarkan ia berlalu pergi ditiup
angin...
Gaya lukisanku
ketika itu lebih menyerupai manga atau komik Jepun, kerana waktu itu aku sangat
menggemari komik Sailormoon. Aku sendiri benar-benar terikut dengan gaya komik
Sailormoon, dan daripada komik tersebutlah aku belajar melukis watak, variasi
gaya rambut, fesyen dan ekspresi muka. Watak-watak gadis yang kulukis juga
mempunyai mata yang besar seperti anak patung, berambut panjang, berbadan
ramping dan berkaki panjang. Dalam masa yang sama, aku juga membaca komik Shin
Chan dan sering mengadaptasi kelucuannya yang slapstik itu ke dalam komik
lerang dan novel grafik ciptaanku. Sehingga sekarang, aku masih kekal dengan
gaya manga Sailormoon.
Sailormoon karya Naoko Takeuchi
Sehinggalah
melangkah ke sekolah menengah, kecintaanku terhadap komik tidak pernah surut,
malah terus mekar dari hari ke hari. Teknologi yang agak terhad ketika itu
menjadikan aku begitu produktif. Melukis merupakan ‘retreat’ aku setelah
menghadapi tekanan menyiapkan kerja sekolah dan mengulangkaji pelajaran.
Dari
tahun ke tahun, gaya lukisanku semakin baik dan aku mula menghasilkan komik
bertemakan cerita yang serius – tema yang sering kutampilkan ialah kisah cinta
remaja. Wow! Adakah aku pernah bercinta sebelum ini? Jawapannya, TIDAK. Aku
sendiri tidak pernah bercinta, cuma mampu memendam rasa dalam diam. Namun,
bagaimana aku terfikir untuk menghasilkan komik cinta? Sebenarnya, idea
tersebut kuperoleh dengan membaca novel cinta, komik cinta karya orang lain dan
drama serta filem di televisyen. Itu sajalah. Kemudian aku adunkannya mengikut
idea dan kreativiti sendiri. Ternyata, setiap komik yang dihasilkan mendapat
respon positif daripada rakan-rakan. Cuma, aku sendiri memiliki tabiat burukku
yang sukar dikikis, iaitu “hangat-hangat tahi ayam”. Aku hanya bersemangat
untuk menghasilkan komik pada awalnya, namun sampai ke pertengahan jalan, aku
mengalah. Jadilah komik tersebut ‘terbengkalai’ dan disimpan di dalam rak buku sampai berdebu...dan
idea baru tetap keluar menderu-deru, dan begitulah seterusnya...banyak juga
judul komikku yang masih terbengkalai pembikinannya hingga kini.
Sewaktu
Tingkatan Empat, walaupun mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan PMR,
tetapi aku nekad memilih kelas dalam aliran Sastera, pengkhususan Seni. Aku
berada di dalam kelas Tingkatan 4 Kreatif. Mahu tahu di mana kedudukan kelas
ini? Kedua dari belakang! Tetapi apa aku peduli? Kecintaanku terhadap seni
mengatasi persepsi berada di kelas ‘corot’!
Ketika itu, aku
benar-benar serius melukis novel grafik / komik panjang, dan akhirnya aku
berjaya merealisasikannya. Aku berjaya menyiapkan sebuah komik panjang yang
memerlukan tiga buah buku latihan sekolah untuk dilukis, dan pembikinannya
memakan masa selama tujuh bulan. Lazimnya, aku tidak merangka terlebih dahulu
cerita yang ingin dibuat, sebaliknya capai pensel dan terus lukis. Panel
(kekotak) komik juga tidak sekata dan bentuknya lebih ringkas, sekadar
memuatkan komposisi. Penentuan dialog dan naratif dilakukan sebaik sahaja
menyiapkan lakaran komposisi. Aku tahu, gaya ini tidak menjanjikan hasil idea
cerita yang terbaik sebagaimana pelukis komik profesional di luar sana, namun
inilah gayaku sebenarnya.
Ketika aku
tingkatan Empat itulah (tahun 2002), aku mula mencipta watak yang signifikan,
iaitu ‘De Prefect 02’; watak sekumpulan pengawas sekolah dan kisah mereka di
luar tugas mereka. Ada watak gadis ‘tomboy’, gadis ayu bertudung lagi pemalu,
gadis yang suka bergaya, suka buat lawak, bajet ‘macho’ dan macam-macam lagi.
Sampai sekarang, aku masih sayangkan watak ciptaanku ini. Paling menarik, bagai
ditakdirkan, aku akhirnya menjadi pengawas sekolah tiga tahun kemudian, iaitu
sewaktu aku berada di tingkatan Enam Atas.
Lakaran watak ciptaanku; De' Prefect 02 (2004)
Watak De' Prefect Friends Forever (dilakar semula pada tahun 2010)
Walaupun melukis
komik merupakan sebahagian daripada identitiku, namun pelajaran tetap aku tidak
abaikan. Aku akan berhenti melukis apabila menjelang musim peperiksaan. Aku
akui, apabila aku melangkahkan kaki ke alam sekolah menengah, barulah aku sibuk
memikirkan hala tuju masa depanku. Aku menyimpan cita-cita untuk menjadi
pelukis komik atau pereka grafik yang berjaya. Aku juga menyimpan cita-cita
untuk menjejakkan kaki ke universiti apabila menamatkan alam persekolahan.
Buktinya, aku ada menghantar permohonan untuk melanjutkan pelajaran ke
Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka selepas
memperoleh keputusan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Aku
dipanggil untuk menghadiri sesi temuduga, namun rezeki tidak menyebelahiku.
Sudah membuat rayuan kali kedua, namaku tetap tidak terpilih. Cita-citaku untuk
menjadi mahasiswi tidak kesampaian ketika itu. Sejak itu aku sering menangis,
seolah-olah baru mengalami putus cinta.
Atas saranan
keluarga, aku meneruskan pengajian ke tingkatan Enam, suatu misi yang tak
pernah aku rancangkan sebelum itu. Sewaktu mendaftar, hampa rasanya apabila mendapat tahu subjek Pendidikan Seni Visual tidak ditawarkan di sekolahku. Aku memilih pengkhususan yang langsung tiada kaitan dengan minatku selama ini; Pengajian Perniagaan dan Ekonomi.
Walaupun begitu sibuk dengan pengajian,
tetapi apabila tiba cuti sekolah, aku tetap meneruskan hobiku ini. Pernah juga,
aku siapkan satu komik panjang dalam masa tiga hari sahaja – itupun setelah
dalam masa tiga hari itu aku tidak melakukan perkara lain, melainkan makan,
mandi, tidur dan solat. Komik itu dihasilkan pada Disember 2004, dan aku masih
ingat, pada waktu komik itu siap sepenuhnya, dunia dihebohkan dengan tragedi
Tsunami yang melanda Acheh, utara Semenanjung Malaysia dan pulau-pulau sekitar
Phuket dan Krabi, Selatan Thailand.
Seingatku, aku
tidak lagi aktif melukis apabila menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran
di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Kesibukan dengan kuliah,
tutorial dan aktiviti kolej dan universiti menyebabkan aku hampir melupakan
kecintaanku. Namun, cinta itu berputik kembali apabila aku memilih Kesenian
Melayu sebagai bidang pengkhususanku sewaktu memasuki tahun dua pengajian. Aku
berpeluang mengasah bakat dan minatku semula melalui kursus-kursus yang
ditawarkan dalam Kesenian Melayu. Sungguhpun begitu, aku tetap tidak berpeluang
menghasilkan komik panjang / novel grafik seperti sewaktu di bangku sekolah
dulu.
Masa terus
berlalu, dan setelah menamatkan pengajian di peringkat ijazah pertama pada
tahun 2009, setahun kemudian aku kembali ke kampus UM bagi melanjutkan
pelajaran ke peringkat ijazah sarjana (master). Sejak mendaftarkan diri, aku
nekad untuk memilih bidang Kesenian Melayu bagi penyelidikanku, namun ketika
itu, aku puas mencari isu yang berkaitan dengan bidang tersebut untuk dikaji.
Aku meneliti tesis demi tesis, buku demi buku dan bertanyakan kepada senior
bidang-bidang yang berpotensi. Namun, aku tidak menemukan jawapannya, hinggalah
aku bertemu dengan Dr. Nor Azlin Hamidon, salah seorang pensyarah Kesenian
Melayu di Akademi Pengajian Melayu yang kini menjadi penyeliaku. Beliau sendiri
yang mencadangkan kepadaku supaya mengkaji seni lukis kartun atau komik Melayu.
Eh, bukankah bidang itu berkait rapat dengan kecintaanku selama ini? Jujur,
selama ini aku tidak pernah terfikir untuk memilih kecintaanku hinggalah aku
bertemu dengan penyeliaku. Akhirnya, aku menerima cadangan beliau dan nekad
untuk mengkaji seni lukis komik Melayu. Kajianku berfokus kepada perbandingan
gaya dan tema mengikut era, iaitu 1980-an dan milenium (2000). Proposal
penyelidikan telah kurangka dan dibentangkan pada Disember 2011. Alhamdulillah,
panel penilai bersetuju dengan proposalku dan kini masih dalam proses
menyiapkan tesis. Tinggal lagi aku perlu menghadapi candidature defence (ohh...berdebarnya aku!) dan pembentangan hasil
akhir.
Begitu juga, sewaktu aku
membentangkan makalah mengenai seni lukis komik Melayu ketika seminar
internasional sempena program Delegasi APM-UNHAS di Universitas Hasanuddin
(UNHAS), Makassar, Indonesia pada Jun tahun lalu, Alhamdulillah, aku mendapat
maklum balas yang positif. Kajianku dilihat menarik dan perlu diteruskan. Di
situ, aku dapat melihat keterbukaan dari segi persepsi dan pemikiran dalam
kalangan ahli akademik di universiti itu. Di Makassar juga aku mengenali
seorang sahabat serumpun yang mempunyai minat dan bakat yang sama denganku,
meskipun dia mengambil bidang yang berlainan di universiti.
|
Terima kasih kerana sudi membeli dan membaca novel Komika! :)
BalasPadamTeruskan berusaha, ya.
Sama-sama tuan Feeqry! ^______^
PadamTahniah, novel Komika memang terbaik! Ia memberi inspirasi kepada saya untuk terus menjalankan penyelidikan dalam bidang komik hingga ke peringkat Ph.D, insya Allah. ^_^
Terima kasih juga kerana sudi meluangkan masa melawat blog saya yang tidak seberapa ini. Hehe. ;D