Suratan atau Kebetulan?

Mungkin sekiranya anda membaca entri kali ini dari awal hingga habis, tentu anda akan katakan ini entri "Jiwa kacau"! Ternyata ia telah melanggar peraturan blog ini! (Rujuk entri Februari lepas)

Baik, baik. Saya mengaku bersalah. Tetapi bukankah saya sudah kata pada entri yang lepas, saya hanyalah manusia biasa yang mempunyai graf perasaan yang sentiasa turun naik! Apapun, saya tetap tidak mahu dihukum kerana blog ini kepunyaan saya, jadi saya boleh taip apa yang saya suka.

Baik, kembali kepada agenda utama. Sebenarnya, lewat dinihari semalam, hendak dijadikan cerita memang saya terlewat 'online' sebab leka menonton rancangan 'Gila Makan' di saluran Astro 703 AFC (Asian Food Channel). Saya memang penggemar rancangan masakan, jangan tak tahu ya. Kemudian, seperti biasa saya merayau2 tak tentu hala di Facebook. Waktu itulah tiba-tiba ada pop-up chat Facebook yang meletup (ehh tak sampai meletup yer) keluar di bawah kanan skrin. Nama yang tertera - A**** Berubah Bentuk.

Saya tiba2 boleh tertanya2, siapa pula A**** Berubah Bentuk ni? Lebih kurang lima milisaat, saya seperti orang yang hilang ingatan. Kemudian, cepat sahaja otak mengingatkan saya pada kenalan dari Thailand suatu ketika dahulu.

"Oh, dia rupanya!"

Yalah, selama ini dia menggunakan nama Thai jadi apabila tiba-tiba keluar nama pada pop up chat semalam, saya hampir2 tidak kenal dia (bukan tidak kenal, tapi terlupa sekejap, heh3) Buat pengetahuan anda, kenalan saya buat masa ini masih berada di Malang, Indonesia kerana menyertai program pertukaran pelajar di sana.

Apa motif saya menceritakan hal ini di sini? Ya...saya bukan hendak membuat publisiti murahan sehingga menimbulkan gosip hangat lagi panas mengalahkan gosip artis di luar sana itu ya. Walaupun suatu ketika dahulu, ketika berada di Thailand, memang saya "digosipkan" dengan jejaka ini yang bolehlah selepas ini saya hanya memanggilnya Encik A, tetapi hubungan saya dengan dia hanyalah kawan semata2. Kenalan antara dua negara, dan tidak lebih daripada itu. Ceewah. Itu kenyataan rasmi saya. Kalau tidak percaya, boleh tanya P.A saya, Encik Awang Meeow.

* Tak habis2 melalut cik Zaini ni. Ada yang kena campak ke dalam gaung selepas ini.

Pertama kali saya mengenali Encik A ketika saya dan keluarga angkat berkunjung ke tapak pesta Maulid Nabi di sebuah kampung (masih di sekitar daerah Thasala, Nakhon Si Thammarat, Thailand) setahun yang lalu. Yang membuatkan kami tiba-tiba bertegur sapa lalu berkawan adalah kerana dia mampu berbahasa Indonesia walaupun dia sebenarnya anak jati negara Siam. Rupa2nya dia sebelum ini mahasiswa Pengajian Indonesia di Universiti Thammasat, Bangkok. Mujur juga saya boleh bercakap dlm bahasa Indonesia walaupun sedikit. Mungkin sekiranya saya peminat tegar sinetron dari seberang, tentu saya lebih fasih 'ngomong' bahasa Indonesia dengan Encik A.

Berbalik pada kisah tengah malam semalam, akhirnya kami berchit-chat kembali setelah berbulan2 masing2 membawa haluan diri. Yalah, walaupun selalu nampak dia online di dalam FB, tapi saya malas nak ganggu dia. Maklum, tentu dia sibuk dengan aktivitinya di negara seberang, sedangkan saya...????

Lama juga kami berchit-chat, sehingga saya sudah naik mengantuk, barulah kami berhenti. Itupun tanpa kata penutup sebab saya sudah tidak dapat menahan rasa mengantuk lagi, ditambah waktu ketika itu sudah semakin larut, menghampiri waktu subuh. Adoyai, tentu payah hendak bangun subuh nanti.

Perbualan kami berkisar tentang aktiviti terkini masing-masing. Dia telahpun selesai kuliah dan bersiap sedia untuk kembali ke tanah air tercintanya pada Julai nanti. Cuma, apa yang membuatkan saya agak terkesima di sini ialah, terdapat beberapa pertanyaan yang hampir menyamai dialog manuskrip novel rekaan saya. Mungkin ia satu kebetulan, tetapi bagi saya ia agak menarik kerana dialog itu telah saya taipkan di dalam fail Word pada akhir tahun lepas! Sungguhpun begitu, perbezaannya adalah dari segi nama watak dan situasi.

Baik, saya cuba kaitkan persamaan dialog chat kami semalam, dengan dialog manuskrip novel saya (belum dan tidak akan diterbitkan, hanya utk bacaan peribadi):

*Dalam manuskrip novel tersebut, dua watak yang terlibat adalah Ain (mewakili watak utama, orang Malaysia) dan Aidil (watak kedua utama, orang Thailand)*

(1)
Aidil: Kamu juga telah selesai kuliahmu di UM, bukan? (Dialog novel)

Encik A: Masih kuliah di UM kah? (Dialog chat FB semalam)


(2)
Aidil: Ain, bila lagi mahu datang ke Thailand? Thasala dan Nakhon Si Thammarat sentiasa merindui kehadiran Ain dan rakan-rakan kamu yang lain. (Dialog novel)

Encik A: Kapan balik ke Nakhon Si Thammarat lagi? (Bila mahu datang ke Nakhon Si Thammarat lagi?) ~Dialog chat FB semalam!

Memang tidak serupa dari segi ayat kerana ayat yang dituturkan oleh Aidil lebih berbunga-bunga, tetapi yang penting intinya tetap sama! Itu yang menarik perhatian saya, dan asyik terkenang-kenangkan hal itu sehingga hari ini! Apa yang berbeza, dalam manuskrip novel tersebut, dua watak itu; Ain dan Aidil berbual secara langsung di kediaman Ain. Dalam situasi tersebut, Ain bertemu kembali dengan Aidil setelah setahun berpisah, manakala situasi semalam pula, saya dan Encik A hanya berbual di alam maya.

Oh ya, watak Aidil di dalam novel itu sebenarnya bukanlah Encik A, ia sebenarnya watak rekaan semata2 hasil gabungan pemerhatian, kreativiti dan pembacaan sebelum ini. Ternyata Aidil dan Encik A bukan orang yang sama. Mereka berdua mempunyai personaliti yang sangat berbeza. ;D

Mungkin kesimpulan yang boleh dibuat, ia sebenarnya suatu suratan dan mungkin juga kebetulan sahaja. Ya, mungkin juga ini semuanya ilham yang dicurahkan daripada Yang-Berada-Di-Atas itu. Sesekali, apa yang kita nukilkan di mana-mana; diari, blog atau dalam fail Microsoft Word secara kebetulannya terjadi walaupun ada sedikit perbezaan dan ia memakan masa selama berhari-hari, berbulan-bulan, mahupun bertahun-tahun. Itu semua kuasaNya.

Tapi masih ada kekecualian. Sekiranya kita sedang mengarang novel sains fiksyen yang berkisarkan kehidupan di planet Zargus dan pengembaraan mengelilingi seluruh jagat angkasaraya, tentulah ia takkan terjadi. Dalam mimpi sahajalah, kawan!

Jiwang? Merepek? Mengarut? Tidak faham?
Baik, sekiranya tidak suka, boleh abaikan entri ini. Huhuhu.



p/s: Buat pengetahuan Encik A, inilah aktiviti rutin saya pada setiap hari semenjak bergelar 'penanam anggur yang berjaya'. (Gambar dan deskripsi ini tidak ada kaitan dengan entri di atas, sekadar gambar hiasan semata-mata.)
















Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ada Apa Dengan Pengajian Melayu?

KRABI 2018: Itinerari dan Bajet (4H 3M)

Kisah Klasik Untuk Masa Depan (Edisi Raya): Nostalgia Kad Raya